Assalammualaikum....
Bagi anda yang bercita-cita untuk membina rumahtangga bahagia dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t renungkanlah tips berikut : -
1) Anda perlu meletakkan tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah. Naluri untuk berteman dan keinginan kepada anak-anak adalah kehendak semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang normal.
Surah Al-Furqan ayat 74 :-
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa."
2) Anda perlu menyedari bahawa perkahwinan anda dengan orang yang dikasihi itu adalah suatu ketetapan dari Allah. Tanpa restu dan izin yang Maha Berkuasa perkahwinan anda tidak mungkin akan terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah yang telah anda lakukan kearahnya. Anda juga perlu menerima hakikat bahawa usia perkahwinan anda terletak di tanganNya, dan Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa yang dikehendakiNya. Sebagai seorang yang beriman dengan qoda' dan qadar Allah anda hendaklah sentiasa berdoa agar jodoh anda dengan pasangan berpanjangan sehingga ke akhir hayat.
Allah berfirman dalam surah Al-An'am ayat 17 :-
"Jika Allah menimpakan satu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka dia maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
3) Perkahwinan membuahkan hak-hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu ditunaikan baik oleh suami atau pun isteri. Diantara tanggungjawab suami ialah melunaskan mas kahwin, memberi nafkah zahir dan bathin, mendidik isteri dan anak- anak serta berlaku baik terhadap mereka. Manakala tanggungjawab isteri pula ialah mentaati suami dalam perkara yang tidak berlawanan dengan syara', memelihara diri dari perkara yang mungkar, menjaga harta suami dan menguruskan rumahtangga.
Segala hak dan tanggungjawab ini telah termaktub didalam Al-Qur'an dan sangat bersesuaian dengan tabiat dan fitrah semulajadi manusia. Anda seharusnya melaksanakan segala tanggungjawab ini bukan sekadar untuk menyukakan hati pasangan anda sahaja, sebaliknya kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.
4) Sebagai seorang mukmin , sama ada lelaki dan perempuan mestilah meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada segalanya. Firman Allah yang bermaksud :-
"Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." [Surah At Taubah, 24]
Oleh itu anda mestilah memahami kedudukan anda di sisi pasangan. Anda bukanlah pihak yang pertama di hatinya. Bagi suami, selepas ketaatan kepada Allah dan RasulNya, ibubapa jatuh tempat kedua kemudian barulah isteri dan keluarga. Sementara bagi isteri, suami adalah tempat kedua selepas Allah dan RasulNya. Kemudian itu barulah ibubapa. Setelah memahami kedudukan yang ditetapkan oleh Allah, anda seharusnya tolong menolong di antara suami isteri dalam meletakkan hak dan kedudukan ini supaya kena pada tempatnya.
5) Anda haruslah ingat bahawa pasangan anda adalah manusia biasa yang tidak terkecuali daripada kelemahan dan kesilapan. Anda juga demikian. Oleh itu sekiranya pasangan anda melakukan kesilapan, janganlah terlalu diperhitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling maaf memaafi antara suami dan isteri.
6) Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah menggambarkan hubungan suami isteri sebagai pakaian bagi satu sama lain. Bayangkan bagaimana pentingnya pakaian bagi manusia untuk menghindarkan diri daripada hujan dan panas,begitulah pentingnya anda kepada pasangan anda. Sebagai pakaian anda diperlukan setiap masa oleh pasangan anda untuk menutupi keaibannya dan melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan. Oleh itu anda perlulah menjadikan diri anda sebagai pakaian yang terbaik untuknya dan menjauhkan diri daripada menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan tidak berguna.
7) Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara anda dan pasangan sebelum perkahwinan. Ijabkabul bukan sahaja menjadikan anda suami atau isteri malah mengerat dan mengemaskan lagi ikatan persaudaraan ini. Oleh itu kasih sayang tidak hanya berfungsi untuk mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.
8) Anda perlulah beradab dipertemuan pertama dengan pasangan anda. Suami hendaklah memberi salam kepada isteri apabila memasuki bilik pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri sambil berdoa dengan maksud:-
"Wahai Tuhanku aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung dengan Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya."
Selepas itu pasangan hendaklah bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah agar diberiNya kebaikan dan dijauhiNya kejahatan. Dan jika hendak bersama dengan pasangan bacalah doa dengan maksud:-
"Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau anugerahkan kepada kami."
Pertelingkahan antara suami isteri adalah sesuatu yang biasa terjadi sebagaimana lazim disebutkan 'sedangkan lidah lagi tergigit'. Maka apabila berlaku pergeseran janganlah diperbesarkan. Kalau suami marah seeloknya isteri diam dan kalau isteri marah, giliran suami pula diam. Adalah tidak perlu pasangan yang dimarahi cuba membela diri kerana lazimnya ia tidak membuahkan hasil yang baik. Walau bagaimanapun sesiapa yang marah ini perlulah ingat dan bertanya kenapa aku marah. Adakah pasangan aku telah melakukan mungkar yang bertentangan dengan syariat Allah. Jika tidak, nasihat yang baik adalah lebih berkesan. Hidup saling memaafkan dan saling mengerti antara satu sama lain akan menambahserikan rumah tangga.
Janganlah takut menghadapi dugaan dan ujian kerana rumahtangga yang diuji akan membuatkannya lebih kukuh dan matang jika pasangan bijak mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan usaha kita dalam melayari kehidupan berumahtangga.
Home
»
»Unlabelled
» TIPS RUMAHTANGGA BAHAGIA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Random Posts
3/random/post-list
Post a Comment
Post a Comment