Monday, December 14, 2009

Adakah Diri Terpilih?

Di dalam hidup semenjak kelahiran hinggalah kematian, manusia sememangnya akan terdedah di dalam segala proses pemilihan. Pemilihan mungkin pada skop diri sendiri atau pun selain dari itu seperti dalam kelompok masyarakat, pergaulan, pertandingan dan sebagainya......

Di dalam rahim lagi, pemilihan bermula diantara jantina iaitu lelaki ataupun perempuan. Selepas itu pemilihan tempat bersalin, pemilihan sekolah, pemilihan kelas (terpandai, kurang pandai dan seterusnya), pemilihan mewakili rumah sukan, pemilihan segalanya!!!!!!!! Segalanya melalui proses pemilihan sehinggalah hujungnya nanti pemilihan antara syurga ataupun neraka.......

Apa yang pasti, diri pasti akan berbangga sekiranya pemilihan itu memihak pada yang positif. Diri akan berbangga apabila terpilih kelas terpandai. Diri pasti berbangga bila top 10 pelajar terbaik sekolah, diri pasti teruja bila terpilih menjadi juara!

Di dalam dakwah dan perjuangan Islam, pemilihan juga berlaku. Proses ini bukan dikendalikan oleh manusia tetapi ia dikuasai penuh oleh Rabbul Jalil Allah swt. Allah yang memilih di kalangan hambanya yang berkelayakan untuk turut serta dalam barisan jihad. Allah tidak akan membiarkan seseorang yang mempunyai iltizam untuk berjuang buntu di dalam mencari arah tetapi dipermudahkan segala jalan perjuangannya. Pertolongan Allah itu pasti ada walaupun secara zahirnya menampakkan perjuangan Islam ini berlaukkan mehnah, tribulasi dan dugaan.

Lantaran itu, Allah telah memilih dan melantik pembantunya dikalangan manusia iaitu rasul (darjat tertinggi dari kalangan manusia), nabi-nabi, para sahabat, alim ulama, para ilmuan dan pendokong agama Allah yang menyatakan kesanggupan menyerahkan segalanya demi islam. Mereka ini semua adalah asbab kepada kemenangan Islam. Mereka ini asbab melahirkan rasa cinta kepada tuhan. Dan mereka ini juga asbab kelahiran seorang mujahid mujahidah di dalam dakwah.

Dewasa ini, pemilihan ini telah dicampuri dan dikotori oleh tangan-tangan yang tidak secara telus memperjuangkan Islam. Ramai yang menyangka dirinya hebat, lebih hebat dari yang lain maka akan bertindak mengikut pemikiran 'manusia' dan bukannya pemikiran haraki mahupun kesatuan fikrah.

Lantaran itu, maka akan wujud 'pilih bulu' di dalam barisan perjuangan. Pemilihan yang dibuat oleh seseorang ini menyangkakan dengan cara ini, perjalanan perancangan itu akan berjaya dan berkesan. Namun, mungkin ia terlupa, apabila ingin mengejar perkara yang satu, pastikan perkara yang sudah sedia ada tidak tercicir! Jika tidak, maka dikhuatiri akan menyebabkan 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong jatuh berciciran....' Kini, yang dikendong itu semakin banyak yang tercicir.....

Mereka mampu untuk berkata. Kata-katanya dihiasi dengan bacaan suarh dan hadis yang dihafalnya. Mungkin tujuan hafalan hanya untuk 'membenarkan dirinya' dan bukan tujuan untuk mendapat mahgfirah dan keampunan ilahi sebaliknya membela diri sendiri agar setiap tindakan dan keputusan yang dibuatnya 'masih di dalam pagar perjuangan'.....

Di zaman rasulullah, tiada 'pilih bulu' dalam menentukan siapa tentera yang perlu turut serta dalam 'program perang'! Rasulullah OPEN kepada semua! Bukan menyenaraikan siapa yang layak atau tidak layak, malah Rasulullah mengalu-alukan sesiapa yang sanggup berkorban untuk TURUN PADANG! Lantaran itu, rasulullah tidak menghalang sahabat baginda walaupun sahabat itu baru berkahwin mahupun sedang dalam kesakitan.

Read More......

Menyalahkan Tuhan?

Mengapa sesuatu yang diingini tidak diperolehi? Mengapa yang diidam kerapkali tidak mampu direalisasikan? Semua ini adalah persoalan lumrah yang biasa kita dengar apabila seseorang dalam keadaan hampa dan sedih di atas sesuatu nasib yang menimpa dirinya.

Perkara paling sinonim kedengaran adalah berkaitan dengan jodoh dan rumahtangga. Pertikaian demi pertikaian wujud di dalam hati sesetengah mereka yang sampai ke satu tahap akan menyalahkan Tuhan kerana memberi nasib yang buruk kepada mereka.

Yang belum bertemu jodoh, sentiada dia mengadu dan berdoa kepada Tuhan untuk mengurniakan pasangan yang baik buatnya. Ada yang istiqamah, ada pula yang tidak sabar. Ada juga yang sudah bertemu pasangan yang serasi untuk dinikahi, tetapi wujud halangan lain seperti dari keluarga dan juga sanak saudara.

Kadangkala, yang sudah bertemu jodoh pun terus merungut dan seperti mahu menyalahkan Tuhan apabila pasangannya dirasakan tidak seperti yang dia harapkan dan yang diingin-inginkan. Pasangan yang diperoleh tampak menjemukan dan berasa tawar hati untuk bersama saban waktu kerana pada tanggapannya tersalah pilih.

Ada juga yang secara terus menyalahkan Tuhan kerana tidak mengurniakan cahaya mata kepada mereka sedangkan pada tanggapannya mereka berdua taat kepada Tuhan dan sering berbuat amal kebajikan.

Manusia tidak terlepas untuk merungut dan mencari kesilapan dan kesalahan orang. Malah kesalahan Tuhan pun mahu dicari dan dijadikan alasan di atas sesuatu musibah yang menimpa.

Seharusnya bagaimana? Redha. Redha atas ketentuan qada' qadar Tuhan. Allah swt tidak menjadikan dan mengaturkan sesuatu itu dengan saja-saja melainkan tersembunyi hikmah yang mempunyai nilai yang sangat tinggi. Manusia yang malas dan enggan berfikir dengan pemikiran yang matang akan terus-terusan dibelenggu perasaan sering mengkritik, merungut dan menyalahkan orang lain. Namun bagi mereka yang suka berfikir dan meletakkan kesabaran yang tinggi di atas setiap perkara, sebuah ketenangan akan menjengah ke dalam hidupnya.

Bercakap memang mudah. Menulis memang mudah. Hendak buat, siapapun tak tahu. Pak ustaz, tok guru, pakar motivasi itu semua memang pakar bercakap. Tapi kesusahan dan penderitaan untuk berhadapan dengan semua ini diri sendiri yang menanggung seksanya.

Ya! Memang ya! Tapi, jika tidak bercakap, jika tidak menulis, bagaimana mahu menolong? Adakah mahu dipindahkan masalah itu kepada pakar motivasi? Adakah mahu dipinta pak pak ustaz itu mengambil masalah mereka dan si dia hanya menunggu sehingga masalah selesai, baru diambil balik?

Tidak ada jalan keluar di atas segala permasalahan melainkan kepada Allah jua kita mengadu. Setiap masalah ada jalan keluar. Tenangkan hati dengan sentiasa melebihkan Allah terutama apabila datang ketidak puas hati dan juga terasa seperti mahu merungut-rungut. Ingat Allah cepat-cepat sekiranya terasa diri berada di luar kawalan.. seperti mahu marah, merungut, mempertikai dan seumpamanya.

Read More......

Saturday, December 12, 2009

Monolog Hujung Tahun

Tahun 1430 Hijriah akan melabuhkan tirai beberapa hari lagi. Begitu juga tahun 2009 mesihi yang turut akan mengekori melabuhkan tirainya.

Tahun ini, antara tahun yang mencabar buat diri. Blog yang dahulunya aktif kini nampak macam suam-suam kuku. Sahabat-sahabat setia sering bertanya mengapa blog sudah lama tidak update? Apa yang telah berlaku?

Hendak memberi jawapan atau tidak? Memberi jawapan takut dikatakan mencipta alasan. Hendak diam dikatakan sudah sombong. Harus bagaimanakah membuat satu penerangan? Bolehkah baca hati di dalam ini tanpa menggerakkan lidah untuk melantunkan suara berbunyi sebuah jawapan?

Tahun 2009 @ 1430H memberi seribu makna. Terhimpun di dalamnya pelbagai karenah diri yang terkadang entah apa-apa. Tahun ini sudah menjadi seorang bapa. Adakah ini boleh dijadikan jawapan? Bukan ini jawapan sebenar.

Tahun ini sudah sambung belajar. Bolehkah ini dijadikan jawapan? Terpulang...

Di hujung tahun ini, minda agak tidak terurus dengan rapi. Banyak yang hendak dikejar, banyak pula yang hendak digapai. Sama-sama terlintas, sama-sama menetas. Hendak dilayan yang mana satu dulu.

Tahun baru bakal menjelma. Minda ini semakin sarat dengan entah apa-apa karenah. Itu dan ini. Sanasinisamasaja. Mahu apa? Teruskan saja!

Read More......

Monday, November 16, 2009

2012 Yang Mengecewakan

menonton thriller filem 2012, saya ternanti-nanti akan penayangan filem tersebut. Melihat beberapa babak yang diapaprkan memberi gambaran bahawa filem ini filem yang hebat. Apa yang saya impikan adalah filem ini akan memberi sedikit gambaran perihal kedahsyatan huru hara Hari Kiamat.

Harapan menggunung, tanggapan yang keterlaluan, akhirnya membawa kekecewaan. Apa yang diharapkan tidak seperti yang ditunggu-tunggu. Selama 2 jam setengah menonton 2012, kesimpulannya adalah sebuah kekecewaan.

2012 menyaksikan terlalu banyak 'kebetulan' dan keadaan 'nasib baik'. Situasi 'nasib baik' adalah norma biasa di dalam filem dan ironinya akan berpihak kepada hero. Namun di dalam 2012, situasi yang terlalu BANYAK nasib baik membuatkan penonton muak dan sudah menjangka bahawa 'dia akan selamat', 'dia akan dapat mengharungi halangan itu'.

Jalan cerita lebih banyak kepada 'menyelamatkan' beberapa individu dan fokus kepada point 'berjaya menyelamatkan diri'. Penonton mengharapkan paparan kedahsyatan huru hara bumi tetapi paparannya terlalu sedikit dan tampak tidak terlalu 'gempak'.

Menyusuri babak-babak akhir 2012, kekecewaan semakin di rasa apabila mula 'mematikan' hero heroin tempelan dan hero utama di angkat sebagai hero yang menyelamatkan dunia. Dan yang paling kecewa (pada saya) apabila KIAMAT tidak jadi berlaku. Happy Ending. Manusia terselamat. Bumi pula kembali pulih.

Mengharapkan keterujaan beserta sedikit pengajaran, tetapi hanya sekadar menonton sebuah cerita.

Read More......

Saturday, October 31, 2009

Nur Fatimah Allah Punya

Nur Fatimah milik Allah. Ceretan hati seorang ibu: Hayati bersama: Sumber: http://dijahis.blogspot.com

NUR FATIMAH MILIK ALLAH



“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput darimu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Surah Al-Hadid : 22-23

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Surah at-Taghaabun : 11

“ Tidak ada seorang pun yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan : Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un, Allahumma’jurnii fi mushibatii wa akhliflii khoirom-minha ( Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku ini dan gantilah aku dengan yang lebih baik darinya) kecuali Allah akan memberi pahala atas musibah yang menimpanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya.”

Muslim 2/233

“ Allah berfirman : “Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang beriman jika Aku mengambil (mewafatkan) orang yang dicintainya di antara penduduk dunia ini, lalu dia mengharap pahala atas musibah ini kecuali syurga”

Al-Bukhari dalam al-Fath : 11/242

“ Rasulullah SAW berkata kepada seseorang yang ditinggal mati anak lelakinya, “ Apa kamu tidak suka bila kamu masuk salah satu pintu syurga sedang engkau mendapati anakmu itu sudah menantimu?”

Ahmad dan an-Nasa’i. Sanad sesuai syarat as-shahih serta ditashihkan oleh al-Hakim dan Ibnu Hibban. Lihat Fathul-Bari : 11/243


Ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith inilah yang sentiasa membantu kami tenang sepanjang tempoh Nur Fatimah di ICU dan melihat sendiri puteri kami berhenti bernafas.. Ibu ayah mana yang tidak sayangkan anaknya dan sedih melihat penderitaan kesakitan anaknya, namun janji-janji Allah yang sentiasa mendamaikan dan membantu kami tabah dan redha.. Syukur pada Allah yang memberikan kami kekuatan, ketabahan dan redha dengan segala yang berlaku..Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendoakan kami..


PENGHARGAAN BUAT KELUARGA DAN SAHABAT

Kesempatan ini, saya dan suami ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kaum keluarga, mak, mama, baba, abang2, kakak2, adik2, sanak saudara dekat dan jauh serta sahabat-sahabat dekat dan jauh atas segala bentuk sokongan, doa dan ziarah dari awal Nur Fatimah dimasukkan ke wad kanak-kanak, ICU dan sepanjang jenazahnya di Masjid UPM dan dikebumikan. Kami amat menghargai segala susah payah mak, mama, baba dan adik-beradik yang bersama-sama menjaga Nur Fatimah, mengalunkan bacaan Al-Quran untuknya, berulang dari Johor dan Pulau Pinang yang bukannya dekat untuk memberi sokongan, menjaga dan mendoakan Nur Fatimah, juga sanak saudara yang tidak putus-putus berziarah, membawa makanan kepada kami, membantu urusan jenazah dan sentiasa memberikan sokongan yang tidak mampu kami balasnya melainkan Allah sebaik2 Pemberi Balasan..

Kami juga sangat terharu dan berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan, datang berziarah, menelefon, SMS, memberi sokongan material dan emosi sehinggalah ke hari ini. Sukar untuk kami menyebutkan satu persatu nama sahabat kerana bimbang ada yang tertinggal, cukuplah nama sahabat2 semua berada dalam hati kami dan Allah akan membalasnya.

Begitu juga ucapan terima kasih buat pengurusan Hospital Putrajaya, Doktor-Doktor Pakar di Hospital Putrajaya, Hospital Kuala Lumpur, PPUM dan nurse yang sentiasa sabar dan berdedikasi dalam kerjaya dan membantu sepanjang merawat anak kami.


HARI-HARI YANG MENDEBARKAN

Sukar untuk saya mengingat kembali detik-detik penuh cemas dan mendebarkan, kerana pasti saya akan terbayang-bayangkannya. Setiap kali sahabat dan sanak saudara bertanya tentang punca dan kejadian semasa berlaku dan pertanyaan-pertanyaan mengapa, apa dan bagaimana, saya berusaha untuk menjawabnya sebaik mungkin walaupun di hati ini berasa tidak senang dan letih untuk menjawabnya lantaran berulangkali dan menyebabkan teringat perkara-perkara yang menyedihkan. Namun saya faham keprihatinan family dan sahabat-sahabat semua kepada kami.

Bermula dengan menghantar Nur Fatimah ke Nursery dengan gelak tawa yang cukup menghiburkan, mendapat panggilan dari pengasuh bahawa setelah lama menangis, tiba-tiba Nur Fatimah lemah, saya terus ke Nursery dengan linangan air mata dan melihat Nur Fatimah berda dalam dakapan owner Nursery yang sampai dahulu dari saya. Menyangka Nur Fatimah inginkan ibunya, saya terus mendakap dan ingin menyusukannya, namun takut di hati apabila Nur Fatimah tidak membuka matanya dan kejang seperti sawan dan terus menghantarnya ke Hospital An-Nur tempat kelahirannya dan dipindahkan ke wad kanak-kanak di Hospital Putrajaya lebih kurang pukul 3 petang Khamis 9 Oktober 2009. Sepanjang perjalanan ke Hospital An-Nur, saya tidak putus-putus membacakan Fatihah, Ayat Kursi dan ‘Bismillahillazi La Yadurru...’ kepadanya. Beberapa kali Nur Fatimah kekejangan di kereta dan juga di wad kanak-kanak walaupun telah dimasukkan ubat anti sawan. Setelah otak discan dan diambil air tulang belakangnya di wad kanak-kanak, dalam pukul 1pagi Jumaat, saya melihat wajah Nur Fatimah dan ketika itu tiba-tiba matanya terbuka dan kemudian tertutup, seolah-olah malaikat telah menjemputnya pergi, kemudian alat pengukur kandungan oksigen menunjukkan penurunan mendadak oksigen dalam badan namun kemudiannya normal. Setelah nurse pergi, saya melihat kembali wajah Nur Fatimah, namun terkejut melihat tiada tanda-tanda pernafasan di badannya dan melihat mulutnya seperti menyedut udara. Saya panggil doktor dan doktor sudah ‘standby’ dengan ‘alat renjat’, namun tidak digunakan kerana setelah mengepam bantuan pernafasan, jantung Nur Fatimah kembali berdenyut. Setelah dimasukkan ke ICU, di luar ICU, suami mengangkat tangan berdoa dan saya mengaminkan dengan sedu sedan menangis.. “ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untuk Nur Fatimah dunia dan akhiratnya, sekiranya hidup itu lebih baik baginya, Engkau sembuhkanlah Ya Allah, sekiranya kematian itu lebih baik baginya, maka Engkau bantulah kami untuk sabar dan redha” antara doa yang diingati.

“ Kita doa yang terbaik untuknya ya,” dengan mata merah, abang mengingatkan saya.. Benar, kekuatan abang menyebabkan saya berusaha untuk tabah dan redha..

14 HARI DI ICU

Sepanjang tempoh ini, perkara paling menakutkan kami adalah apabila berjumpa dengan doktor. Sejak dari mula lagi doktor telah mengingatkan dan memberikan segala sebab musabbab realiti agar kami bersedia.

” Nur Fatimah mengalami kecederaan otak yang sangat teruk. Dari scan kedua, memang nampak lebih teruk lagi. Mengikut pengalaman kami, dari dua kes terdahulu, memang berakhir dengan kematian. Saya minta maaf sangat, tetapi kami berusaha yang terbaik, memang kita perlu berusaha dan bersangka baik, dengan izin Allah ada miracle, tetapi kita perlu tahu juga realitinya mengikut ilmu perubatan.”

Bertanya kepada Doktor Arini, pakar kanak-kanak Hospital Putrajaya, pelbagai perkara, simptom, punca dan sebagainya, namun hakikatnya, benar semuanya adalah musabbab yang Allah berikan. ” Biasanya terjadi di nursery, mak ayah jangan salahkan diri, saya faham mak ayah risau, lagipun anak pertama, baby nangis banyak takkan terjadi kecederaan sebegini, biasanya terjadi dengan sebab goncangan yang kuat biasanya dengan sebab kemarahan, atau hayunan buaian kuat menyebabkan gegaran di kepala.” Air mata tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk keluar kerana memikirkan takut-takut kesalahan saya menyebabkan Nur Fatimah begitu. Berulangkali Doktor menjelaskan kepada kami kerana berulangkali juga kami bertanya sama ada boleh tak terjadi sekiranya kerana berjalan jauh semasa raya, takut nur fatimah penat atau kerana banyak sangat nangis sehingga kata-kata orang menyebabkan kurang oksigen sampai ke kepala.

14 hari di ICU juga tidak putus-putus kami membaca Fatihah, Ayat Kursi dan Yasiin kepada Nur Fatimah dengan niat supaya menjadi penawar, syifa’ kepadanya, sehingga suami sempat bergurau, ”nanti kalau Nur Fatimah sihat, mesti dia dah hafal surah Yasin.” 14 hari di ICU juga, pelbagai masjid menunaikan solat hajat, sanak saudara dan sahabat pula tidak putus-putus berkunjung, terima kasih diucapkan. Setiap kali bertemu Nur Fatimah, hati rasa bersemangat kembali walaupun masih tidur. Ucapan kami tidak putus-putus pada telinga Nur Fatimah, ” Mama Baba sayang sangat pada Nur Fatimah, Mama Baba minta maaf segala salah silap mama baba pada Nur Fatimah ye, Mama Baba doakan yang terbaik untuk Nur Fatimah, Nur Fatimah bukalah mata, baliklah dengan mama baba kat rumah”Juga berusaha pelbagai perkara, selain ubat doktor, ubat-ubat lain yang dibenarkan juga beserta air zam-zam serta air penawar juga diberikan, berusaha sedaya mungkin kerana kita tidak tahu taqdir yang Allah tentukan padanya, harapan kami tentulah puteri Nur Fatimah sihat dan sembuh...

12 Oktober 2009 merupakan genap setahun pernikahan kami, namun Allah menguji kami dengan ujian berat ini, Nur Fatimah masih ’tidur’ di ICU. SMS baba pada kami : ”Abg dan Djah! Setahun berlalu abg dan Djah bergelar suami isteri. Sudah 3bulan menjadi ayah dan ibu kepada puteri Nur Fatimah. Ulangtahun abang dan Djah dikalong ujian dari Allah, putri cucu ba dan ma , ’tidur’ tenang. Luruh segala kudrat, kering air mata, sebak melanda jiwa, cucu ba dalam ujian Ilahi. Yang terdaya cumalah munajat yang sarat dengan hajat, agar Nur segera sihat. Abg n Djah, la tahzan! Ba, Ma dan adik-adik ucapkan ’tahniah’ sempena setahun berijab qabul. Kami terlalu sayang pada abang n kak Khadijah, dan sekuntum melur cantik, Nur Fatimah! Ba sebak dalam tangisan!”


3 Zulkaedah 1430H, 22 Oktober 2009, ALLAH LEBIH SAYANGKAN NUR FATIMAH

Pukul 4.30pagi Khamis, nurse di ICU call minta datang ke ICU, heartbit semakin menurun. Bergegas ke ICU, pukul 4.55 pagi, kami sampai dengan emak yang tidur bersama di rumah. Sesampainya di sana, heartbit dan tekanan darah semakin lemah. Kami berulang kali membaca Yasiin, Surah Al-Ikhlas, Surah Fatihah dan ayat Kursi serta membisikkan syahadah kepada Nur Fatimah. Benar, janji Allah pasti berlaku. Sesudah kami menunaikan solat Subuh, saya mohon pada Doktor untuk memangku dan memeluk Nur Fatimah, doktor izinkan. Dengan masih bantuan pernafasan di mulut, Nur Fatimah berhenti bernafas di pangkuan, sebagaimana kata doktor, lama-lama jantung tidak akan larat juga untuk mengepam walaupun ada bantuan pernafasan. Nur Fatimah ’tidur selama-lamanya’ di pangkuan mama bersama baba dan nenek. Air mata masih lagi laju seperti tidak mahu berhenti, namun mulut masih lagi membisikkan laa Ilahaillallah, Muhammadur Rasulullah kepada Nur Fatimah. ” Tenanglah sayang, Allah lebih sayang pada Nur Fatimah.

” Itu yang terbaik pada Nur Fatimah, abang masih lagi ada Khadijah” kata-kata abang bagai menyimbah air di hati. Benar, apa yang berlaku, itulah yang terbaik untuk Nur Fatimah, dunia dan akhiratnya. Syukur pada Allah yang mencampakkan rasa ketenangan dan redha dalam hati sepanjang hari itu. Hati rasa puas dapat menjaga Nur Fatimah, dapat membaca Al-Quran bersamanya dan dapat mengalirkan susu di dalam badannya walaupun melalui tiub. Ketika mengambilkan wudhu’ ke badan Nur Fatimah selepas memandikannya, membasuh tangan Nur Fatimah sambil berkata dalam hati,” Nur Fatimah, nanti pegang tangan mama baba kuat-kuat ye sayang dalam syurga, tolong mama baba dapat sama-sama di syurga.” Ketika membasuhkan kakinya, ” Nur Fatimah, tunggulah mama baba sama-sama di syurga ya!”

Talkin yang baba baca di perkuburan menyebabkan air mata tumpah lagi, ”pasti cucu baba sedang bermain-main di syurga, jumpa tok ismail, tok piah.” begitulah yang selalu tok wan baba cakap. ”Title datuk dah ditarik balik nampaknya!”wan baba kata pada kawannya. ”Mak, cucu mak dah tinggal 8orang balik, ain je cucu perempuan mak” abang kata pada mak.

JAULAH PUTRAJAYA

Hari sabtu, 2 hari kemudian, kepala semakin lapang dapat berjalan-jalan sambil bergambar di putrajaya bersama baba,mama dan adik-adik. ” Kalau Nur Fatimah ada mesti dia yang jadi subject kita ambil gambar.”

Banyak benar pengajaran dan ingatan Allah kepada hamba-Nya yang sememangnya lemah ini, yang kadangkala melupaiNya. Nyawa kita berada dalam genggaman-Nya. Perlu sentiasa bertaubat lantaran kadang-kadang hati kita mungkin terlupa dengan kekuasaanNya, bangga diri atau takbur dengan pemberianNya, melupai bahawa Allahlah penjaga makhlukNya. Ujian Allah sebenarnya menjinakkan kembali hati dan menguatkan kembali rohani, moga-moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan memberikan yang lebih baik lagi di kemudian hari..

”Nur Fatimah, mama baba sayang sangat pada Nur Fatimah, tapi Allah lebih sayangkan Nur Fatimah! Nur Fatimah tetap permata hati mama baba, anak sulong mama baba! Doakan mama baba dapat bersama-sama Nur Fatimah di syurga, jangan lupakan mama baba...”

Ya Allah, kami mohon yang lebih baik dari-Mu, Engkau yang Maha Mengetahui yang lebih baik dan terbaik, bantulah kami sentiasa mengingatiMU, mensyukuri nikmatMu dan memperbaiki amalan kami semata-mata keranaMU... Syukur padaMu Ya Allah kerana memberikan kami zuriat selama 108hari, menatap wajahnya, menyusukannya dan menjaganya, Maha Suci Engkau dan Maha Penyayangnya Engkau kepada hamba-hambaMu, pandanglah kami dan janganlah Engkau tinggalkan kami, bantulah kami dalam segala urusan kami, wahai Allah, Tuhan yang Maha Memberi..
Alhamdulillah....

Read More......

Sunday, October 25, 2009

Semakin Jauh Dengan Tuhan

SEMAKIN JAUH DENGAN TUHAN

Saya masih muda. Sebagai seorang manusia, saya juga kadangkala berasa lemah dan tidak tahan dengan ujian yang datang. Jiwa yang kental kadangkala luruh pada keadaan-keadaan tertentu. Rasulullah seorang yang berjiwa kental. Sekental Rasulullah pun, baginda tidak dapat lari daripada menghadapi emosi dan lumrah sebagai seorang manusia. Baginda menitiskan air mata apabila baginda kehilangan isteri tercinta. Baginda menjadi ‘tak menentu’ apabila menerima ‘tetamu tak diundang’ semasa berkhalwat di Gua Hira’. Maka disitu mengajar saya, sebagai manusia, kita mempunyai kelemahan dalam mengawal diri sendiri. Tidak semua keadaan kita mampu mengawal. Dalam keadaaan tertentu, kita berasa seperti hilang kawalan. Dan pada masa itulah perkataan yang sering kita ucap seperti: ‘boringnyee’, tension!!, bengang! Dan lain-lain.

Ketika itulah kita memerlukan tuhan. Kita perlukan Dia bagi membantu mencatur dan mengawal pergerakan kita. Apabila terasa diri hilang kawalan, kita memerlukan kawalan dari tuhan agar diri kita tidak tersasar dan terkeluar dari panduan. Apabila melihat keadaan golongan agama pun terjerumus ke lembah maksiat, itu sebenarnya bukan kerana mereka tidak beriman, tetapi mereka sebenarnya hilang kawalan diri sendiri dan Allah pula tidak mengawalnya. Punca mereka hilang kawalan bermula ketika diri seseorang di dalam keadaan luruh sepertimana perenggan di atas.

Persoalannya sekarang, benarkah Allah boleh mengawal kita? Jawapannya YA! Memang boleh! Tetapi hakikat dunia sekarang, tidak ramai yang Allah kawal mereka. Semakin ramai yang tidak dikawal Allah. Kerana apa? Kerana mereka tidak mahu Allah kawal mereka.

Inilah dia fenomena ‘semakin jauh dengan tuhan’. Kita sudah semakin jauh untuk bergantung harap pada tuhan. Perilaku kita pada hari ini semakin banyak yang membelakangi tuhan. Bagaimana mungkin Allah mahu mengawal kita sedangkan tiada apapun yang kita lakukan untuk Dia. Pemimpin yang ada hanya mempermain dan mempersenda tuhan. Ulama’ yang ada hanya berada pada jawatan dan pangkat. Ustaz ustazah yang ada hanyalah menjadikan status itu sebagai kerjaya. Kepada siapa lagi yang mahu diharapkan? Jangan berasa diri sudah ‘perfect’ apabila kita berjaya menjaga amalan kita. Silap haribulan, yang sentiasa menjaga amalan itulah yang tersasar dari landasannya. Banyak amal bukan jaminan mendapat tiket untuk masuk ke dalam list Hamba Allah yang diredhai.

Kembali pada topik ‘kawal’. Izinkan saya untuk menyorot kembali kisah-kisah riwayat dahulukala. Sebagai contoh dan bukti bahawa wujudnya kawalan daripada Allah. Yang terbaru, saya ingin menyebut bagaimana ‘canggih’nya Allah mengawal masjid iaitulah rumahNya semasa bencana air bah besar tsunami menimpa. Saya berpendapat, bukti ini adalah sanagt jelas bagi menyatakan bahwa ini adalah kawalan Allah! Allah mengawal air-air itu bergerak pada kawalanNya sahaja. Tsunami adalah ‘mesej’ jelas daripada Allah buat umat moden sekarang. Namun malang, ramai yang mudah lupa.

Nabi Musa dihanyutkan oleh Allah ‘dalam kawalan’ ketika krisis pembunuhan bayi lelaki ketika itu. Begitu juga Allah mengawal bahtera Nabi Nuh ‘dalam kawalan’ ketika dihanyutkan dalam bah. Begitu juga Nabi Adam yang ‘hilang kawalan’ semasa mula-mula mendarat di muka bumi, namun hakikatnya Nabi Adam berada dalam kawalan Allah sehinggalah baginda bertemu kembali dengan isterinya.

Mengapa tidak dikawal tuhan? Mudah! Kerana kita sudah lupa pada tuhan. Tuhan sudah tidak dijadikan yang pertama. Tuhan sudah tidak dijadikan tempat bergantung harap. Semuanya tidak kerana tuhan. Malah di dalam jemaah Islam sendiri pun, banyak ahli yang menidakkan tuhan. Mungkin sebab itulah jemaah Islam kini tidak dikawal oleh Allah. Semakin banyak fitnah yang diterima. Malah semakin kusut keadaannya. Ahli tidak lagi di didik untuk mengenal tuhan, tetapi lebih kepada di didik untuk membenci orang lain, di didik berhadapan peperangan ciptaan manusia seperti pilihanraya dan sebagainya.

Mungkin kerana fokus terlalu banyak menyebabkan kesemua matlamat yang digariskan tidak kesampaian. Lujnah yang ditubuhkan hanya sekadar membentuk sebuah organisasi tanpa sedikitpun memberi kekuatan pada jemaah. Malah di dalam organisasi itu, seringkali berlaku cakar mencakar, tidak puas hati, berkata belakang, mengkritik pimpinan dan sebagainya. Bagaimana tuhan mahu membantu jemaah seperti ini sedangkan ahli-ahli tidak disiplin? Bukan ahli sahaja, malah pimpinan sendiri pun tidak berdisiplin. Paling mudah, janji untuk mesyuarat atau ceramah 9.30pagi, tetapi 11 pagi masih ‘on the way’.....

Disiplin adalah satu langkah menuju kejayaan. Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan adalah kerana mereka mendisiplinkan diri dengan sistematik. Masa belajar, rehat dan sebagainya diatur dengan teratur. Begitu juga disiplin dalam pemakaian.

Kita merintih dan menyesali atas apa yang berlaku. Tetapi untuk membuat perubahan, terasa amat payah sekali. Entah kenapa sifat ini berjaya masuk ke sanubari kita. Bila solat berjemaah, terasa malas untuk bercepat-cepat, sengaja membiarkan imam berada di rakaat terakhir supaya dapat menjadi masbuk. Baki rakaat yang kurang akan dlaksana dengan mood sendiri iaitu lebih segera dan lebih selesa. Namun, ini lebih baik berbanding sifat malas nak solat jemaah lansung yang melanda kebanyakan kita.

Ya Allah, zaman apa yang sedang engkau turunkan kepada kami ini? Kemanisan iman, ibadah, ukhwah semakin lama semakin susut dan pudar. Ya Allah, kembalikan kemanisan itu Ya Allah.....

Read More......

Friday, August 14, 2009

Izinkan Aku Menyanjungimu Asri Ibrahim

Pagi tadi, sekitar jam 10.45 pagi, semasa sedang menatap komputer di office, Hafiz Hamidun memberi YM kepada saya. Katanya dia mahu ke Hospital Pantai, ziarah Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia. Saya hanya membalas: 'haaa???'


Saya tidak mahu percaya YM Hafiz tersebut. Lantas terus menelefon Hafiz Hamidun. Beliau mengesahkan berita itu. Katanya Ustaz Asri meninggal dunia beberapa minit yang lalu. Meninggal dunia mengejut.

Saya masih kurang percaya. Saya terus call Hazamin Inteam untuk minta pengesahan. Syekh Hazamin mengiyakan berita itu. Memang shahih. Secara automatik, perasaan dan jiwa saya berubah. Walau saya takde ikatan apa-apa pun dengan Ustaz Asri Ibrahim, tetapi hati dan jiwa ini seolah-olah menangis. Berbual sebentar bersama Hazamin, kasihan kepada keluarganya, bagaimana pula nasib rakan-rakan Rabbani tanpa Ustaz Asri Ibrahim?

Call pula Syekh Rahim Inteam. Dia sedang dalam perjalanan ke Hospital Pantai. Semua penasyid sayu dan sedih. Di Facebook sudah riuh rendah bercakap-cakap tentang kematian Ustaz Asri Rabbani. Semua orang sedih. Semua orang tak mahu percaya. Tetapi semua orang kena percaya.

Beberapa jam kemudian, sms dan ym bertalu-talu masuk mengkhabarkan kematian Ustaz Asri Rabbani.

Saya cuba call Akhil Hayy, tetapi beliau tidak angkat telefon. Tak tahu di mana dia berada. Mungkin masih berkelana memikirkan halatuju dirinya sendiri.

Hingga ke saat tulisan ini ditulis, hati dan perasaan ini masih sama sejak 10.45 pagi tadi. Masih terasa kehilangan. Masih rasa tidak percaya.

Untukmu Allahyarham Mohammad Asri Ibrahim, izinkan aku menyanjungimu.

Read More......

Monday, July 27, 2009

Kem Pelajar Berwawasan

Assalamualaikum wbt. Sangat lama rasanya saya tidak update laman blog ini. Lantaran kesibukkan mengharungi kehidupan, blog ini seolah-olah dipinggirkan dan dilupakan. Sedangkan sepatutnya saya tidak lupa bahawa di blog ini juga kekuatan dan rakan seperjuangan di dalam menempuh ranjau kehidupan dari dulu hinggalah kini.

Sekadar mencoret sedikit aktiviti yang lepas lepas. Pada 10 - 12hb Julai yang lalu berlansung Kem Pelajar Berwawasan di Brindley Camp n Training Pasir Panjang, Port Dickson Negeri Sembilan. Kerjasama bersama II SOLUTION (www.iisolution.org) bersama SMK Undang Jelebu Negeri Sembilan. (Gambar2 koleksi program boleh didapati di http://picasaweb.google.com/iisolutionphoto )

Alhamdulillah program berjalan lancar dan semua peserta menerima pengisian program dengan baik. Semoga Allah menerima program ini sebagai salah satu kaedah menggapai redhaNya.

Read More......

Thursday, June 25, 2009

Maaf

Jadual saya agak semakin pack sekarang. Terdapat kekangan untuk update blog dengan kerap. Harap maaf kepada semua.

Read More......

Tuesday, June 9, 2009

Kisah Khaulah dan Hukum Zihar di Utusan Hari ini

Baru malam tadi saya post topik berkaitan Zihar dan kisah Khaulah binti Tha'labah. Dan pagi tadi di office pun, saya sempat bermuzakarah sebentar dengan sahabat saya berkaitan Zihar dan Khaulah binti Tha'labah. Tup-tup, bila tengok akhbar Utusan malaysia hari ini, terpampang cerita berkaitan khaulah dan Zihar. Seolah-olah macam ada kait mengait sahaja. Saya paparkan artikel dari utusan ke sini untuk tatapan dan manfaat kita bersama.. Insyallah.

Allah kabulkan doa Khaulah
KHAULAH binti Sa'labah adalah antara golongan wanita Ansar pertama memeluk Islam semenjak Islam tiba di Madinah. Beliau seorang yang sangat bijaksana, fasih dan indah ketika berbahasa dan berbicara.

Hidupnya diabadikan dengan beribadat kepada Allah dan Rasul-Nya. Suaminya merupakan Aus bin Samit, saudara kandung Ubadah bin Samit dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arabi.

Khaulah adalah contoh wanita yang baik dan isteri yang setia terhadap suaminya. Sehinggalah terjadi satu peristiwa, Khaulah tidak membenarkan suaminya mendekatinya sebelum turun hukum Allah atas perbuatan suaminya itu yang menyamakan belakang (badan) dirinya sama seperti belakang ibu Aus.

Perbuatan ini dikenali sebagai zihar dalam Islam.

Ucapan "kamu seperti belakang ibu saya" adalah sebahagian dari adat zaman jahiliah kerana dengan ucapan itu, isteri yang disamakan itu dengan sendirinya haram untuk disentuh!

Ini menjadikan si isteri seperti digantung tidak bertali. Ini kerana jika hendak berkahwin lain, si isteri belum menjadi janda dan dalam masa yang sama, si isteri tidak lagi mempunyai hak terhadap suami dan anak, selain tidak ada hak dalam hubungan kekeluargaan.

SILA KLIK READ MORE UNTUK MEMBACA KESELURUHAN ARTIKEL

Begitulah buruknya perbuatan zihar ini. Lalu Khaulah mendesak Nabi Muhammad supaya segera memberi keputusan yang sesuai mengikut hukum Allah mengenai kejadian yang menimpanya itu. Ini adalah kerana dia masih mahu rumahtangganya kekal dan anaknya terpelihara dengan baik.

Beliau tidak mahu berpisah suaminya yang telah tua walaupun mempunyai perlakuan yang kasar, panas baran, suka menengking dan tidak memiliki peribadi yang mulia terhadap ahli keluarganya.

Namun Khaulah tetap melayani suaminya dengan baik.

Namun, apabila pada suatu hari suaminya itu pulang dan ingin bersama dengan isterinya itu, namun permintaannya itu telah ditolak mentah-mentah oleh Khaulah disebabkan perbuatan zihar yang pernah dilakukan oleh Aus.

Ini menjadikan si suami begitu marah dan mula mengeluarkan kata-kata kesat dan yang kurang disenangi oleh Khaulah.

"Wahai Khaulah, kamu seperti punggung ibu saya!" kata Aus dengan nada geram lalu keluar dari rumahnya.

Walaupun Aus telah keluar dari rumah dengan hati yang marah namun beliau pulang semula ke rumah bagi meneruskan juga niat di hatinya itu.

"Jangan kamu menolak kemahuan saya ini, sila ikut saya ke bilik tidur," kata Aus sambil memaksa isterinya masuk ke dalam bilik tidur.

"Tidak, demi jiwa saya yang berada dalam kekuasaan Allah, tidak sekali-kali saya membenarkan kamu menjamah tubuh saya selepas apa yang kamu katakan tadi sehingga ada hukum Allah dan Rasul-Nya yang memberi keputusan mengenai hubungan kita berdua!" ujar Khaulah dengan tegas.

"Saya tidak peduli!" jerit Aus sambil cuba menerkam ke arah isterinya itu.

"Tidak!" jerit Khaulah kembali lalu sempat menepis badan Aus sehingga suaminya itu jatuh ke lantai.

menyembah bumi

Aus terjatuh menyembah bumi kerana tidak dapat mengawal badannya yang sudah tua itu. Khaulah yang tidak mempedulikan suaminya lalu lari keluar dari rumah dan terus menuju ke rumah Rasulullah bagi mengadukan apa yang telah berlaku padanya itu.

Apabila tiba di rumah Rasulullah dan kebetulan baginda ada ketika itu lalu Khaulah pun menceritakan segala apa yang berlaku pada diri dan suaminya itu.

Khaulah mahu mendapatkan juga hukum agama dan berdialog dengan Rasulullah mengenai perkara itu.

"Suami kamu adalah anak bapa saudara kamu. Dia sudah lanjut usia. Maka sayangi dia dan takut pada Allah dalam urusannya," kata Nabi Muhammad selepas mendengarkan keluhan Khaulah.

Khaulah mengulangi apa yang menimpa dirinya dan meminta pandangan nabi sama ada dia harus bercerai dengan suaminya itu. Namun Nabi berkata: "Saya belum mendapat wahyu berkaitan masalah kamu itu. Saya tidak melihat melainkan kamu sudah haram baginya (bercerai)".

"Tetapi suami saya tidak menjatuhkan talak kepada saya!," jawab Khaulah.

Nabi hanya mendiamkan diri selepas mendengar kata-kata Khaulah itu. Khaulah masih tidak berganjak dan terus mendesak Nabi sehingga turun ayat dari Allah bagi menyelesaikan masalahnya itu.

"Demi Allah, saya tidak akan pulang sehingga turun ayat al-Quran ke atas saya," kata Khaulah berkeras dan tidak mahu meninggalkan rumah Nabi.

Namun Khaulah kemudiannya terus mengangkat tangan ke langit dengan hatinya penuh kesedihan dan kesusahan sehinggakan air matanya tidak berhenti-henti mengalir membasahi kedua-dua pipinya seolah-olah kesal dengan apa yang telah berlaku. Dia mengadu nasibnya kepada Allah.

Khaulah terus berdoa tanpa henti menunggu turunnya ayat al-Quran bagi menyelesaikan masalahnya dan tidak lama kemudian Nabi Muhammad pun memberitahu bahawa Allah telah menurunkan wahyu kepada baginda berhubung masalah Khaulah itu.

Iaitu baginda membacakan surah al-Mujadalah ayat 1 hingga 4 di hadapan Khaulah. "Suruh suami kamu memerdekakan seorang hamba bagi menebus kesalahannya menziharkan kamu itu," perintah Nabi kepada Khaulah.

"Ya Rasulullah bagaimana mungkin, pada hal suami saya itu tidak mempunyai apa-apa pun," jawab Khaulah.

"Kalau begitu, suruh suami kamu berpuasa dua bulan berturut-turut," kata Nabi lagi.

"Bagaimana dia hendak berpuasa Ya Rasulullah sedangkan dia sudah tua dan tidak akan mampu untuk berpuasa apatah lagi secara berturut-turut," kata Khaulah lagi.

"Bagaimana pula kalau dia memberikan makan kurma kepada 60 orang miskin?" tanya Nabi.

"Demi Allah! Dia tidak mempunyai apa-apa pun Ya Rasullah!," kata Khaulah.

"Jika demikian, saya akan membantu dengan satu tandan kurma!," kata Nabi menyatakan hasratnya untuk membantu Khaulah. "Saya pula akan menambahkannya dengan satu tandan yang lain," kata Khaulah bagi membantu suaminya itu.

"Kamu merupakan seorang wanita yang sangat baik dan bijaksana. Sekarang bawalah setandan kurma dariku ini dan sedekahkan ia dan layanilah suami kamu dengan baik," puji Nabi terhadap Khaulah.

Begitulah kisahnya seorang wanita yang mengadukan rayuannya kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Allah mendengar rayuannya dari langit yang tujuh lapis dan menurunkan ayat al- Quran untuk memberikan hukum mengenai perbuatan zihar itu.

Read More......

Bahaya Zihar!

Dalam kelas terbaru yang saya ikuti semalam, ada satu part yang membincangkan perihal Zihar di dalam subjek Ulum Al-Quran. Di dalam subjek Ulum Al-Quran, subtopic di dalamnya membicarakan perihal Asbabul Nuzul berkaitan Nuzul Al-Quran. Maknanya, sebab-sebab turunnya ayat al-Quran itu.

Antara asbab penurunan al-Quran itu adalah kerana sesuatu peristiwa. Maknanya, apabila berlaku sesuatu peristiwa itu, dan tidak ada jawapan yang tepat, maka disitulah turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad SAW sebagai jalan penyelesaian.

Antara contoh penurunan al-Quran berdasarkan peristiwa adalah dalam satu kes Khaulah binti Tha'labah. Rujukan lain mengatakan namanya ialah Khaulah binti Malik bin Tha'labah. Khaulah adalah isteri kepada 'Aws bin Al-Samit. Peristiwanya adalah, 'Aws telah menyamakan salah satu anggota fizikal isterinya dengan ibunya. Perkara ini dinamakan Zihar. 'Aws telah menziharkan isterinya apabila mengatakan 'pinggulmu (punggung) sama seperti pinggul ibuku'.

Apabila berlaku insiden ini, Khaulah kebingungan lantas bertanya kepada Rasulullah dari segi hukum. Rasulullah sendiri pun tak boleh nak jawab sebab belum ada lagi jawapan untuk kes seperti ini pada ketika itu. Maka disebabkan peristiwa inilah, turunnya wahyu iaitulah pada surah al-Mujadalah bermula dari ayat pertama bagi memberi jawapan.

Melalui pensyarah saya, hukum ini hanya jatuh apabila seorang suami itu menziharkan isterinya kepada ibu kandungnya sahaja. Hukum ini tidak jatuh jika si suami menziharkan isterinya kepada orang lain selain ibu kandungnya. Bermakna, tiada masalah jika mengatakan rupa paras isteri sama seperti adiknya, atau ibu saudaranya dan lain-lain. Maka berhati-hatilah wahai suami-suami sekalian. Bicara anda amat mahal harganya. Jika mahu berbicara sesuatu terutama kepada isteri, fikirlah semasak masaknya. Takut tersasul dan tersebut perkara yang dilarang. (Apabila saya semak semula hukum zihar di laman web lain, mengatakan bahawa hukum tersebut juga jatuh kepada perempuan lain yang mahram kepada suami. Saya akan conformkan semula kemudian)

Bagaimana jika dah tersebut? Maka kata Rasulullah kepada Khaulah melalui penurunan wahyu tadi, suaminya kena menarik balik kata-katanya tadi dengan penuh penyesalan dan keinsafan. Dan mereka wajib memerdehekakan seorang budak sebelum mereka bersama. Jika tak dapat mencari budak (almaklum pada zaman sekarang), hendaklah dia berpuasa selama dua (2) bulan berturut-turut. Jika tiada kuasa dan kemampuan untuk berbuat demikian, hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

Khaulah berkata :”Kemudian Rasulullah SAW bersabda : Suruhlahdia membebaskan seorang budak. Maka aku katakan : Demi Allah, wahaiRasulullah, dia tidak punya budak untuk dibebaskan. Nabi SAW bersabda :Suruhlah dia berpuasa dua bulan berturut-turut. Maka aku katakan : DemiAllah, sesungguhnya dia seorang tua renta yang tidak berdaya. Nabi SAWbersabda : Suruhlah dia memberi makan orang miskin sebanyak 60 sha’ kurma.Maka aku katakan : Wahai, Rasulullah, dia tidak mempunyai makanan sebanyakitu. Maka Rasulullah SAW bersabda : Kami akan membantumu dengan serangkai kurma. Maka aku katakan : Wahai Rasulullah, aku akan membantunya denganserangkai kurma lagi. Kemudian Rasulullah SAW bersabda : Engkau berbuatbenar dan baik. Pergilah dan sedekahkan kurma itu baginya, kemudian per-lakukan putera pamanmu dengan baik. Maka aku pun melakukannya.”["Al-Ishaabah, juz 8, halaman 618-620]

Rujukan dari blog http://atifhidayat.wordpress.com/2009/02/24/khaulah-binti-malik-bin-tsalabah/ Syukran Jiddan!!!

Read More......

Macam2 Yang Berlaku

Assalamualaikum wbt san salam sejahtera.

Rasanya, lama juga tidak update blog ini. Ada dalam sebulan juga blog ini dibiarkan begitu sahaja. Entah mengapa keinginan untuk membuka tajuk baru di blog ini tidak mendesak-desak dan lebih rela melakukan rutin harian di samping berhadapan dengan pelbagai ujian serta panorama baru dalam kehidupan.

Jika boleh di listkan di sini, dalam tempoh sebulan ini, komputer saya mengalami masalah kritikal dan terpaksa membuat perbelanjaan besar untuk mengubatinya. Peringkat pertama, masalah yang dikesan adalah port kabel di mainboard sudah rosak sehingga menyebabkan proses pengesanan (detect) tidak berlaku dengan sempurna. Senang cakap = tak dapat detect. Lalu saya mengambil keputusan 'selamber' iaitu dengan menukar baru. Harga mainboard tersebut adalah RM180. Campur upah install, format dll, adalah RM220.

Tidak cukup dengan mainboard, saya dikhabarkan oleh kedai komputer itu bahawa power supply saya tak dapat support mainboard baru. Memang pening memikirkannya. Tapi saya amat memerlukan komputer. Proses pembelajaran saya amat mendesak untuk menggunakan komputer. Saya tak mahu berada dalam konflik pemikiran. Saya terus bersetuju untuk menukar power supply yang baru dengan harga RM60. Setelah berunding, dapat diskaun RM10, so bayar RM50 sahaja. Total harga semua sekali ialah RM270. Demi komputer.... hemm..

Dalam jangka masa sebulan ini juga, saya membeli printer baru berharga RM195 berjenama HP Deskjet F2280. Saya amat memerlukan printer untuk mencetak assigment dan nota-nota terkini.

Dalam jangka masa sebulan yang lalu juga iaitu pada tarikh 10hb Mei 2009, saya mendaftarkan diri sebagai salah seorang pelajar di salah sebuah Universiti di dalam negara ini. Impak dari panorama baru ini amat dirasai. Pengalaman pertama berada dalam keadaan 'blank' adalah semasa class yang terbaru ini apabila masuk ke kelas kedua kepala saya terasa amat sakit. Masuk kelas ketiga mmg dah tak boleh tahan. Inilah natijah study yang hampir 4 tahun tak pernah berada dalam situasi pembelajaran.

Baru-baru ini saya bersama family membuat kenduri dan majlis kesyukuran kelahiran anak saya Muhammad Muadz Syahmi di kampung. Ala-ala majlis potong jambul tapi takde pun upacara potong jambul tersebut. Yang ada hanya majlis bacaan yasin, tahlil ringkas, kemudian akhir sekali selawat beramai2 sambil saya mengendong Muadz mengelilingi hadirin. Hari esoknya, saya cukur sendiri dibantu abah mertua mencukur rambut Muadz hingga botak. Rambut tersebut afdalnya ditimbang dan dinilaikan dengan harga emas semasa. Nilai yang diperolehi nanti digalakkan disumbang kepada fakir miskin, atau nak lagi mudah serah terus kepada Pusat Zakat.

Kalau nak cerita panjang lebar apa yang berlaku sepanjang sebulan yang lalu memanglah banyak. Ujian-ujian pun sememangnya banyak. Memang benar, ujian berumahtangga memang ada. Ujian selepas kelahiran anak pun ada. Taraf2 ujian itu berbeza-beza mengikut keadaan. Dalam mengharungi ujian tersebut, terkadang diri kita seolah-olah tidak dapat dikawal dengan sempurna. Kadang-kadang tu, macam ada 'tangan' lain yang mengawal diri kita. Kebiasaannya, syaitanlah yang selalu nak kawal. Tapi kalau kita tersedar yang syaitan cuba nak kawal diri kita dengan menguasai diri, kita kena cepat2 elak. Mungkin disebabkan dosa2, maka syaitan mudah untuk mengawal diri kita berbanding Malaikat. Tabahkanlah hati.

Read More......