PASANG PELITA DI MALAM LIKUR?
Dari dahulu hingga kini sentiasa ada perbahasan tentang pamasangan pelita di malam likur bulan Ramadan. Kefahaman kita berkaitan perkara itu juga adakala berubah seiring peredaran usia dan perkembangan ilmu.
Secara faktanya, tradisi menyatakan, wajarnya untuk memasang pelita di malam likur. Likur itu bermaksud bilangan 20 dan 30. Manakala tujuh likur bermaksud yang ke 27. (Rujukan Dewan Bahasa Pustaka)
Sewaktu kecil, kita didendangkan, memasang pelita dengan tujuan bagi terang jalan kepada roh arwah yang datang menziarahi ahli keluarga di malam likur. Mungkin zaman kecil anda tidak didendangkan cerita ini.
Menganjak ke usia remaja pula, pengetahuan bertukar sikit dengan sedikit logik, yakni untuk menerangi laluan orang yang nak ke masjid. Terdapat juga cerita untuk menerangi jalan para malaikat.
Di zaman 'diri sentiasa betul orang lain salah' pula, mungkin kita merasakan amalan ini tahyul dan khurafat serta meniru amalan agama lain yang memasang api sebagai ritual acara keagamaan. Sehinggakan kita menolak secara tuntas amalan ini bahkan mengherdik orang lain yang mengamalkannya.
Raikanlah kepelbagaian.
Di pojok yang lain, saya mendapat sedikit wacana dari seorang insan yang memandang amalan ini pada pandangan berbeza.
Saya coret pandangan itu sebagai pemikiran terbuka untuk sama-sama difikirkan atau mungkin dibahaskan.
Cuba kita selami bagaimana Islam hadir di zaman nenek moyang kita dahulu dan bagaimana cara mereka berinteraksi di antara dalil dan juga realiti masyarakat.
Mari kita lihat apa yang Allah firman dalam surah Al-Qadr.
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Al Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Al-Qadar itu? Malam Al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Kita ambil isi pentingnya.
1. Quran diturunkan. (sudah lepas)
2. Lebih baik dari seribu bulan
3. Turun para malaikat
4. Hingga terbit fajar
Petunjuk dari dalil ini, boleh dibahaskan seperti berikut.
Para malaikat akan turun ke bumi pada malam tersebut. Berapa bilangannya? Bagaimana besarnya? Kita pun tak tahu. Yang pasti itulah peristiwanya akan akan berlaku.
Kita boleh mengandaikan, pastinya malaikat yang turun itu ramai. Apabila ramai adakah akan adanya 'traffic jam' pada istilah kita? Jika traffic jam, maka angin pun tak sempat mencelah. Bahkan bukan angin, awan, hujan juga tidak ada.
Ubadah Bin Al-Somit RA berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. Lihat Umdah Al-Qari 11/134)
Jadi, ada kemungkinan ciri-ciri malam al-Qadr itu. tenang, nyaman, tidak sejuk, tidak panas, tidak hujan, tiada angin. Adakah ciri-ciri ini berlaku disebabkan seluruh isi alam ini dipenuhi para malaikat? Hinggakan dahulu kita ada dengar cerita tentang pokok tunduk di malam al Qadr? Wallahu a'lam.
Kembali kita kepada tradisi pelita di malam likur.
Jika tiada angin, tiada hujan, malam yang tenang, pastinya pelita tidak akan terpadam apinya. Adakah itu caranya orang dahulu berikhtiar mencari malam al-Qadr? Lihat pelita sepanjang malam, jika tidak terpadam, insha Allah malam itu mungkin malam Al-Qadr. Wallahua'lam sekali lagi.
Mengapa di sebut malam tujuh likur. Kerana banyak juga dalil yang memberatkan malam ke 27. Namun ianya tetap dalam teka teki. Mudahnya, 10 malam terakhir pasang pelita. Mungkin begitu niat sebenar orang dahulu.
Namun kini, kita orang moden tidaklah sehalus itu untuk menterjemah antara dalil dan tingkahlaku. Kita sudah jauh berteknologi. Tak mahu pelita terpadam, orang kita pasang mentol elektrik. Inovasi khabarnya. Bahkan untuk lebih meriah, dipasang lampu lip lap lip lap di depan rumah.
Ramadan Kareem.
Selamat berpuasa.

Next
This is the most recent post.
Previous
Older Post

Post a Comment

Random Posts

3/random/post-list
 
Top