Ramai yang mungkin masih mengingati kumpulan nasyid Shoutul Amal. Namun, jika ditanya kepada generasi baru hari ini, mungkin mereka akan menggelengkan kepala jika ditanya soalan tersebut. Sememangnya kumpulan Shoutul Amal sudah amat lama menyepi dalam dunia hiburan Islam di Malaysia. Tidak tahu mengapa, tetapi mereka seolah-olah hilang begitu sahaja.

Sekitar tahun 2010 atau 2011, saya pernah menulis sebuah artikel yang berjudul Warkah Terbuka Buat Shoutul Amal di blog ini. Namun sayangnya, blog itu menghadapi masalah apabila diganggu oleh hackers. tetapi saya sempat menyimpan paparan artikel itu dan insyaAllah akan saya usahakan untuk tampilkan di sini untuk dibaca semula oleh semua.

Pada artikel tersebut, saya menyeru dan menulis warkah kepada kumpulan Shoutul Amal agar membuat kebangkitan semula dengan membuat album ataupun sekurang-kurangnya tampil membuat persembahan secara aktif. Tanpa saya duga, warkah tersebut mendapat respon daripada ahli kumpulan Shoutul Amal dan pihak pengurusannya. Perkara ini amat menggembirakan hati saya. Khabarnya, insyaAllah Shoutul Amal akan kembali juga satu hari nanti.



Bertanya Khabar

Baru-baru ini, tergerak hati saya untuk bertanya khabar kepada salah seorang ahli kumpulan Shoutul Amal iaitu Abdul 'Alim Zakaria. Saya bertanya, bagaimana proses menerbitkan album baru yang sebelum ini katanya mahu diterbitkan?

Respon yang agak mengejutkan. Hari saya bertanya itu merupakan hari pertama kumpulan Shoutul Amal masuk studio untuk rakaman lagu pertama album ketiga mereka itu nanti!

Ini merupakan berita yang sangat menggembirakan bagi saya dan sudah tentu bagi semua peminat nasyid khususnya yang minat kumpulan Shoutul Amal sejak dahulu lagi.



Album Ketiga pada 2014 ini.

Jika tidak ada aral yang mendatang, insyaAllah para peminat boleh mendapatkan album ketiga Shoutul Amal seawalnya pada Januari 2014. Sudah tentu semua pihak tidak sabar-sabar untuk mendapatkannya.

Semua orang tertunggu-tunggu apakah kelainan yang ada pada album ketiga ini. Adakah akan ada lagu lama yang dirakam semula? Berapa banyak lagu baru yang dimuatkan? Apakah corak muzik yang bakal ditampilkan?

Semua persoalan itu tidak dapat dijawab sekarang dan ianya masih lagi dianggap rahsia buat masa ini. Penantian ini pasti akan diharungi dengan penuh debaran dan pelancaran album ini nanti pasti akan memberi maklum balas yang positif dalam industri nasyid tanah air.

Post a Comment

Random Posts

3/random/post-list
 
Top