Sesekali apabila anda berasa bosan, atau tidak tahu nak buat apa, apa kata jika anda keluar dari rumah dan pergi ke mana-mana tempat yang mempunyai ramai orang. Apa kata jika anda pergi ke pasaraya. Boleh juga pergi ke mana-mana taman, stesen bas atau apa sahaja tempat.

Cari satu tempat untuk anda duduk. Tempat anda duduk itu adalah tempat yang terbuka dan boleh melihat ramai orang. Sekarang, teruskan duduk dan pandang sebanyak mana manusia yang boleh anda pandang. Setiap manusia yang anda pandang itu, anda boleh tafsirkan sendiri mengikut apa yang anda fikirkan.

Melalui riak muka, cara perbualan bersama rakan, cara berjalan, anda boleh dan bebas untuk memilai mereka hanya di fikiran anda. Selami penilaian anda itu.

Anda akan mula menyelami dan memahami bahawa manusia ini sememangnya pelbagai. Ada ramai manusia yang mempunyai pelbagai watak, perangai, tingkah laku, sifat dan keperibadian.


Manusia Itu Sebuah Kesempurnaan

Apabila melihat manusia dan manusia, anda mula dapat berfikir bahawa Allah menciptakannya dengan penuh kesempurnaan. Kepelbagaian sifat manusia yang anda perhatikan itu sebenarnya menggambarkan betapa maha Besarnya Allah menjadikan manusia ini, yang konsep kejadiannya sama tetapi mempunyai kelainan antara satu sama lain.

Anda boleh juga merenung diri anda sendiri sewaktu duduk di tempat orang ramai itu tadi. Dalam ramai-ramai orang yang anda perhatikan, ada atau tidak yang peribadinya mirip seperti anda. Contoh, jika anda rasa anda seorang yang pemarah, anda perhati muka orang-orang yang bengis. Muka yang ada ada ciri ciri panas baran. Di situ anda mula dapat berfikir tentang peribadi diri sendiri.

Firman Allah:
"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.", (At-Tin Ayat 4).

"Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu." (Al-Infithaar: Ayat 7-8)


Manusia Dan Kesombongan

Manusia diciptakan dengan pelbagai pakej kesempurnaan. Pakej itu juga termasuk di dalamnya sifat-sifat yang jika tidak dikawal dengan baik akan menjadikan manusia berada dalam keadaan yang dimurkai Allah.

Manusia diciptakan bukanlah hanya saja-saja mahu dicipta. Allah cipta manusia pastinya mempunyai sebab dan tujuan. Lihat diri anda sekarang. Anda diciptakan oleh Allah. Anda hidup hingga sekarang. Anda sempurna segala segi. Atas sebab apa Allah jadikan anda sesempurna itu? Adakah hanya untuk main-main dan buat sesuka hati sahaja di atas muka bumi ini?

"Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"  (Surah Al-Mu'minuun: Ayat 115) 

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." - (Surah Al-Baqarah: Ayat 30)

Pastinya Allah menjadikan manusia disamping bertujuan menjadikan manusia itu mulia. Syarat mudah untuk menjadi mulia adalah amat mudah iaitu dengan hanya bertaqwa kepada Allah. Meletakkan segala-galanya kepada Allah tanpa sedikitpun membelakanginya.

"...Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Al-Hujuraat: Ayat 13)

Kadang-kadang manusia ini hanya ingat Allah sekali sekala. Semasa ada kematian, ketika bulan Ramadan, ketika solat Jumaat, ketika sakit dan waktu tertentu yang lain. Seringkali Allah dilupakan tatkala manusia seronok dan leka dengan hidup di dunia ini. Ketika sedang berhibur, ketika pangkat semakin tinggi, ketika kuasa ada di tangan. Sedangkan Allah sentiasa 'pandang' kita setiap masa.


Asal Usul Manusia Yang Hina

Jika anda berasa anda sudah cukup hebat, anda pakar segala segi, anda berasa apa yang anda buat semua betul bagi anda, marilah kita mula berfikir sejenak akan asal usul kejadian kita.

Walau hebat bagaimana pun kita, asal usul kita adalah dari setitis air yang hina. Air hina ini yang keluarnya dari tempat yang sama keluarnya najis. Jadi seharusnya kita mula sedar bahawa hebat mana pun kita, kita semua tetap bermula dari kejadian yang sama. Perkara ini bagi menyatakan, walau apa kondisi anda pada ketika ini, sentiasalah beringat dan merendahkan diri. Sentiasa tunduk pada segala perintah Allah swt.

Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada saripati air yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur." (Surah As-Sajadah: Ayat 7-9)

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu sari pati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan sari pati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik." (Surah Al-Mu'minun: Ayat 12-14)

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur, yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat." - (Surah Al-Insaan: Ayat 2)


Kembali Kepada Fitrah

Manusia itu kadang-kadang dia berasa lupa akan tujuannya hidup di dunia ini. Tujuan dia hidup di dunia ini pun padanya kurang jelas untuk apa. Setiap apa yang dilakukan serba tak kena. Kehidupannya dirasakan sudah rosak hanyut. Dia merasakan hidup ini menyusahkan. Lantas dia melakukan apa sahaja yang dia suka untuk hiburan dirinya sendiri.

Kita semua sekali sekala perlu untuk reset minda dan pemikiran kita. Pemikiran yang berserabut dan campur baur dengan pelbagai campuran dosa pahala, maksiat dan tingkahlaku keji. Itu semua perlu dibuang. Semakin lama semua itu bersarang di minda dan fikiran, semakin serabut hidup kita yang mendatang.

Lantaran itu kita sering dengar orang menyebut, kembalilah kepada fitrah. Bagaimana mahu kembali kepada fitrah itu? Fitrah itu pula apa sebenarnya?

Fitrah ialah  cedukan  dari bahasa Arab yang digunapakai di dalam bahasa melayu , ertinya di dalam bahasa Melayu mudah faham ialah kembali kepada asal.  Bermaksud  setiap perangai ( kelakuan ) baik dan buruk,  kecil dan besar, muda dan tua, sakit dan sihat  adalah fitrah kepada makluk yang berubah ubah dari kecil kepada besar,  bayi kepada dewasa, muda kepada tua.  

Fitrah sebenar ialah kembali ke hadrat Allah dengan menyaksi Allah Tuhan sekalian alam. Dapat juga dikiaskan kembali kepada fitrah, adalah seperti kembali kepada asal usul kita mula-mula dilahirkan semasa bayi yang dilahirkan suci, tidak mempunyai dosa, tidak mensyirikkan Allah.

Wallahua'lam.

(Artikel ini ditulis selepas mendengar lagu berjudul Setetes Air Hina nyanyian Rhoma Irama)


AlongSafa
3 Ramadan 1436H

Post a Comment

 
Top