IMG-20131017-WA0011

Suasana Hari Raya Korban masih ada terasa. Satu sambutan yang mengajak umat Islam untuk menghayati dan merenungi akan konsep pengorbanan.

Apabila tiba Aidiladha, dua perkara akan pasti sinonim dengan umat Islam. Pertama: Menunaikan Haji. Kedua: Ibadah Korban.

Kedua-duanya berkait rapat dengan konsep pengorbanan. Penyerahan diri.

Menunaikan haji. Mengorbankan harta dan mengeluarkan modal untuk pergi ke Mekah, Arab Saudi bagi menunaikan Rukun Islam Kelima. Menyerahkan diri kepada Allah. Dengan himpunan jutaan manusia tertumpu pada satu tempat, konsep tersebut perlu dihayati dengan sedalam-dalamnya. Apa maksud dan hikmah sebenar di sebalik ibadah haji ini. Kadang-kadang ianya cukup sukar diterjemahkan kepada sebuah tulisan.

Ya, pengalaman itu adalah harta yang mahal harganya. Di sebalik ibadah haji, terdapat satu sifat kerohanian yang ianya cukup sukar untuk diolah dalam bentuk tulisan dan kata-kata.

IMG_20131015_121620

Seringkali, jika ada sesiapa yang pulang dari menunaikan haji, mereka akan bercerita itu dan ini. Kita pula sibuk bertanya apa pengalaman yang diperolehi. Kalau mereka cerita pun, ianya tak cukup untuk mewakili apa sebenarnya yang telah mereka lalui. Dan kita yang mendengarnya ini pun, belum tentu dapat meresapi 'roh' haji itu ke dalam diri kita.

Ibadah Korban. Yang dijalankan sempena Hari Aidiladha. Apa pula ibrahnya? Pengajaran, hikmah yang ada padanya?

Mengikuti perjalanan ibadah korban pada tahun ini, saya cuba meresapi akan maksud sebenar di sebaliknya.

Bersolat Aidiladha di Kampung halaman. Bertakbir. Tetapi tidak menusuk ke dalam hati. Hanya di bibir. Entah kenapa.

Hampir tengahari, menuju ke Taman Universiti Parit Raja, mengikuti program ibadah korban di Surau. Sampai di tempat kejadian, kesemua 8 ekor lembu telah ditumbangkan. Datang hanya menyaksikan orang melapah daging lembu. Dipotong kecil-kecil. Ditimbang 1kg setiap bungkusan. Setiap ekor dibuat asing-asing. Akhirnya sekali jumlahkan setiap ekor lembu mendapat berapa bungkusan. (atau berapa kg).

IMG_20131017_085742

Hari Khamis lalu, mengikuti pula aktiviti korban di tempat kerja. Sebanyak 4 ekor lembu dikorbankan kali ini.

Mula-mula sampai, melihat 2 ekor lembu telah disembelih. Menyaksikan aktiviti melapah. Yang dilakukan oleh sekumpulan pekerja yang mungkin telah ditugaskan oleh pihak penganjur. Cuba meresapi akan hikmahnya di sebalik 2 ekor lembu pertama yang telah disembelih dan sedang dilapah. Cuba menghayati konsep ibadah korban... Tidak jumpa. Entah kenapa.

Tiba pula masa untuk menyembelih dua lagi lembu terakhir. Cuba untuk memberi sepenuh fokus untuk menghayati hikmah dan pengajaran melalui ibadah korban.

Dua ekor lembu sedang berada di atas lori.

Lori diundur sedikit mendekati tempat menyebelih. Lantai simen.

Tali lembu di tarik. Lembu direntap dengan kasar. Bedebam!!! Lembu diturunkan ke lokasi menyembelih yang lantainya simen. Lembu turun dari lori terus jatuh tersembam ke lantai. Lembu terus direntap segenap bahagian. Tidak tahu cedera atau tidak selepas jatuh dari lori tersembam ke simen tadi.

Lembu ketiga sudah disiapkan oleh petugas untuk disembelih. Petugas-petugas gelak ketawa di sambil bergurau senda sesama mereka. Yang lansung tidak mencuitkan hatiku untuk turut tertawa. Lembu ketiga ini kemudian disembelih oleh seorang ustaz. Takbir 'longlai' dialunkan dan saya cuba untuk meresapi hikmah ibadah korban. Ada rasa sedikit tetapi hilang selepas petugas-petugas mengambil alih semula aktiviti membuang kulit lembu dan memotong bahagian-bahagian lembu.

Lembu keempat dilihat lebih pasrah. Dengan cara yang sama menurunkan dari lori ke simen, kelihatan lembu keempat ini lansung tidak melawan. Diam sahaja. Matanya nampak seperti kecewa dengan cara layanan yang diberikan kepadanya. Saya menjauhkan diri dengan lembu keempat. Kerana ada sifat simpati pada lembu itu. Lembu keempat disembelih oleh seorang lagi ustaz. Lembu keempat kurang rontanya. Mati dengan begitu sahaja....

Selepas itu saya mengikuti beramai-ramai di bawah khemah memotong daging kecil-kecil. Di bungkus 1kg setiap bungkusan. Di tempat ini, keempat-empat ekor lembu tidak dibuat pengasingan. Di campur terus. Ini menyebabkan data setiap ekor tidak dapat diketahui dan penama orang yang berkorban tidak dapat data kepadanya bagi mengetahui berapa jumlah kg atau berat dan dapat hasil dari korbannya. Mungkin begini caranya di sini.

IMG-20131017-WA0004

Jadi, apa pengajarannya disebalik ibadah korban?

Sebagai program berkumpul beramai-ramai?

Sebagai tempat bersenda gurau dan bersuka ria?

Jika ditanya kepada orang lain, mungkin mereka ada pandangan sisi yang berbeza. Mereka mungkin dapat menghayati dengan mendalam akan 'amali' korban itu pada kehidupannya.

Bagi saya, konsep pengorbanan itu semakin lama semakin hilang kerana apa yang sepatutnya kita hayati dan fahami semakin tidak dapat diperolehi. Ianya hanya menjadi seperti menyembelih lembu pada hari-hari biasa. Tidak ada keistimewaan. Program menyembelih lembu.

Agak kecewa pada diri sendiri kerana saya gagal untuk memahami dan menghayati akan konsep dan maksud sebenar AidilAdha dan ibadah korban pada kali ini. Membayangi kisah Nabi Ibrahim dan Ismail pada sudut perlaksanaan korban hari ini, mungkin memerlukan satu imaginasi yang cukup dalam bagi mendapatkan hikmahnya.

Ini adalah kesilapan saya sendiri. Orang lain saya rasa berjaya menghayati ibadah korban yang mereka lalui dan diterjemah dengan berkesan sebagai ibrah yang baik untuk dirinya.

Saya perlu lebih banyak belajar lagi untuk mendapatkannya.

Post a Comment

Random Posts

3/random/post-list
 
Top