NOVEL: MEMORI GEMILANG
ALONG SAFA

WARKAH GEMBIRA

Batu Pahat, Mei 2001

"Ri, ada surat kat rumah. Urusan Seri Paduka Baginda", ayah Zahari memberitahu semasa di kilang selepas rehat tengahari. 
Zahari bekerja di kilang tempat ayahnya bekerja sementara menunggu panggilan ke IPT. Tujuannya, apabila masuk ke IPT nanti, ada duit poket yang boleh dibuat belanja. 

"dari mana bah? KL ke?", Zahari bertanya secara mengejut. Jelas tampak di wajahnya riak kegembiraan.
"kau tengok lah nanti bila balik rumah", ayahnya menjawab ringkas dan berlalu menuju ke bilik solat untuk menunaikan solat Zuhur. 

Zahari mengekori ayahnya ke surau. Wuduknya masih ada. Lantas dia sujud syukur kerana dia tahu surat yang menanti di rumahnya itu pasti berita gembira. 
Sampainya di rumah, tidak ada perkara lain yang dicari melainkan surat Urusan Seri Paduka Baginda itu. 
"mak, mana surat ri?", Zahari menjerit dari depan rumah sejurus mematikan enjin motorsikalnya.
"ada kat atas tv tu", ibunya menyahut dari dapur.

Surat dibuka berhati-hati. Dikoyakkan dengan cermat agar isi dalamnya tidak rosak. 
"Alhamdulillah! Mak, Ri dapat Poli!", Zahari menjerit sambil meluru ke dapur memeluk ibunya. Ibunya yang sedang menggoreng ikan terkejut kerana dipeluk dengan tiba-tiba. 
"Mak, Ri dapat Politeknik! Tengok ni suratnya!"
"syukurlah. Bapak kau dah tau ke belum?"
"tak tau lah. Tadi abah yang bagitau ada surat ni. Nanti abah balik Ri bagitaulah"

Kegembiraan masih menyelubungi jiwa Zahari. Ke mana sahaja dia pergi, pasti senyuman akan sentiasa meleret di bibirnya. Teman-teman sekolah yang ditemui pasti akan dikhabarkan berita gembira yang diterimanya itu. Ada juga teman-teman sekolahnya yang lain turut dapat menyambung pelajaran ke universiti. Dia mempunyai tempoh 3 minggu untuk bersiap masuk ke menara gading.

Malamnya, Zahari pergi ke Kafe Siber untuk menaip surat notis berhenti kerja. Dia hanya bekerja sementara di kilang itu. Notis berhenti kerja 24 jam akan diserahkan ke pejabat kilang pada keesokan harinya. Dia tidak mahu bekerja lagi. Jiwanya sudah berada di kelompok pengajian. 

Zahari tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya masih lagi tidak melupakan berita gembira yang diterimanya siang tadi. Ingin saja dia menjadikan hari hari berikutnya berlalu dengan lebih pantas agar saat yang dinanti bergelar seorang mahasiswa akan tercapai dengan cepat.

Pagi esoknya, tanpa membuang masa, Zahari mengajak ibunya pergi ke bandar. Tujuan utamanya sudah tentu untuk membeli barangan keperluan yang akan di bawa ke Politeknik nanti. Hanya dengan menaiki bas lompat, dia dan ibunya mengharungi panas terik yang mula membakar tubuh sesiapa sahaja lantaran kedudukan matahari yang mula meninggi. 

"Ri, kau jangan beli barang banyak sangat. Ala kadar saja sudahlah. Kita ni bukan orang senang", ibunya menasihati semasa di dalam bas.
"ye, Ri tau mak. Kita beli barang-barang yang penting saja. Yang remeh temeh tak payahlah beli", Zahari membalas.
"Ri, ini pertama kali kau belajar jauh. Keluar dari Johor. Jaga diri kau nanti elok-elok. Duduk di tempat orang hati-hati, jangan buat kepala sendiri", ibunya mula menasihati anak sulungnya itu. Zahari adalah anak sulung daripada 4 orang adik beradik. Sudah tentu ini pengalaman pertama ibunya menghantar anak keluar belajar di IPT. Kerisauan muncul di benak hatinya. Ibu mana yang tidak sayangkan anak? Sedangkan haiwan pun mempunyai sifat kasih pada anak, inikan pula manusia yang dianugerahkan oleh Allah sifat penyayang dan perasaan kasih antara satu sama lain. 

"kau jangan nak pandai-pandai bercinta dengan perempuan. Belajar dulu sampai habis. Nanti boleh bantu abah kau tu", teguran yang agak tajam dirasakan hinggap ke gegendang telinga Zahari.
"ye mak, Ri ingat pesan mak. Mak pesan lah selalu nanti ye. Bimbang terlupa pula", Zahari mengusik ibunya sambil tergelak.
"ha, tengok tu, kalau nak kena rotan, buat lah ye", ibunya menjawab sambil mencubit peha kanan Zahari.
"aduh!"

Tiba masanya untuk berangkat. Ayahnya menyewa sebuah kereta. Bukan orang lain, pakcik Zahari juga. Pendaftaran pelajar baru adalah pada hari Selasa, 6hb Jun 2001. Isnin malam itu, mereka bersiap-siap. Malam itu mereka bertolak dan akan bermalam di rumah saudara di Cheras.

Rakan-rakan kilang datang memberi semangat dan dorongan. Zahari merasakan, betapa beruntungnya dia mempunyai teman yang amat menghormati dirinya. Di kilang, Zahari terkenal dengan sifat peramah dan sopan santunnya. Sering menjadi ketua ketika tadarus al-Quran pada awal pagi sebelum memulakan kerja. Lantaran itulah ada beberapa pekerja perempuan yang menaruh hati padanya. Lebih hebat lagi pengaruh Zahari ini sehingga ada juga janda yang mahu berdamping dengannya juga.

"Akak tak paksa Ri terima. Terpulanglah pada Ri", Kak Mas, seorang janda berpesan kepada Zahari selepas menyerahkan sepucuk surat kepadanya. Belum sempat membalas pesanannya itu, Kak Mas terus berlalu meninggalkannya.
Zahari membuka perlahan surat yang diberi. Hanya kertas A4 yang dilipat kecil-kecil. Beberapa bait perkataan tertulis pada lembaran kertas A4 itu. Pendek saja isinya. 
"Akak nak jadikan Ri adik angkat akak. Akak tak paksa. Harap balas"

Bergetar juga jantung Zahari membaca surat seperti itu. Jiwanya menolak. Dia belum bersedia untuk masuk ke dunia begitu. Zahari memang jenis menjaga hubungan. Ketika berjalan, apabila terserempak dengan perempuan, dia hanya tunduk. Apabila bercakap dengan perempuan, seboleh-bolehnya mahu sahaja dihabiskan dengan segera. Kalau bercakap pun, matanya tidak akan diarahkan kepada perempuan itu sebaliknya memandang ke arah lain umpama objek-objek yang mampu membantunya. 

"Kak, saya taknak", spontan Zahari menuturkan bicara itu ketika terserempak dengan Kak Mas di kantin. Terpaksa juga dia melemparkan senyuman agar Kak Mas tidak berkecil hati.
"taknak takpelah. Tak kisah", Kak Mas membalas sambil berjalan untuk mencuci tangan.
Peristiwa itu hanya terhenti setakat itu. Tiada tindakan susulan yang dibuat oleh Kak Mas. Zahari bersyukur.

Hari terakhir Zahari di tempat kerja. Zahari menerima bebrapa hadiah sebagai tanda kenangan. Walaupun hanya bekerja selama 5 bulan sekadar memenuhi masa selepas SPM, Zahari sudah diibaratkan cukup serasi bersama pekerja lainnya. Zahari turut menerima cenderamata daripada pihak syarikat sendiri bagi menyatakan keprihatinan pihak syarikat kepada Zahari walaupun hanya bekerja sementara. Hadiah yang lain turut diterima daripada Kak Peah, Kak Asmah dan Watie. 

"nah, kau ambik ni hadiah dari aku. Aku baru beli semalam tau. Untuk kegunaan kau di sana nanti", Watie menghulurkan bungkusan hadiah kepada Zahari sewaktu tamat waktu bekerja dan di dalam perjalanan ke tempat meletak motorsikal.
"aku buka sekarang boleh?", Zahari meminta kebenaran.
"mana aku tahu. Kan barang kau tu. Suka hati kau lah", Watie membalas sambil mendapatkan motorsikalnya. 
Zahari membuka sampul bungkusan itu perlahan. "Wah, selimut dan tuala. Terima kasih banyak! Tapi aku dah beli barang ni"
"Ambil saja lah. Ada juga gunanya nanti. Kalau kau taknak pakai, kau simpan saja. Masukkan dalam frame gambar", Watie membalas sambil menghidupkan motorsikalnya.
“Ri, jom keluar. Kita minum-minum sikit”, sapaan ayahnya menyedarkan Zahari daripada lamunan. Fikiran dilemparkan jauh menerawang ke kenangan indah semasa bekerja sementara di kilang itu.
“dah sampai mana ni bah?”, Zahari bertanya pada ayahnya sehinggakan tidak sedar kereta pakciknya itu sudahkan menyusur masuk ke kawasan rehat Ayer Keroh.
“kau ni Ri, nak kata tidur, tak juga. Nak kata jaga, sentiasa celik mata kau wak tengokkan tadi. Kau ni ok ke tak Ri?”, Wak Dom menyapa. Gelaran wak adalah sinonim bagi masyarakat jawa bagi adik beradik sebelah ayah atau ibu yang lebih tua.
Rombongan satu kereta itu terdiri daripada ibu ayahnya, adik perempuannya yang bongsu bernama Nadzirah dan dua orang pakcik dan makcik Zahari iaitu Wak Dom dan Wak Lilik. Orang jawa memang begitu. Singkatan nama dan gelaran nama yang dipanggil kadangkala tiada kaitan lansung dengan nama sebenar. Nama penuh Wak Dom ialah Hasdom manakala Wak Lilik pula ialah Siti Salbiah. 
Mereka berenam keluar daripada kereta Proton Wira maron dan melangkah ke ruang niaga di kawasan rehat yang disinggahi. Zahari hanya mengekori perlahan di belakang sekali.  Fikirannya masih lagi tidak menentu. Kali ini, kotak mindanya berfikir jauh pada gambaran suasana hari esok. Hari pendaftaran pelajar baru di Politeknik Ungku Omar. Berfikir juga akan kawan-kawan yang akan dikenali nanti. Terget utama sudah pasti akan mencari kenalan yang faham akan prinsip hidupnya.
Di sekolah sebelum ini, Zahari mula mendalami Islam secara serius semasa di tingkatan lima. Sebelum dari itu, dia hanya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dengan bangun pagi ke sekolah, balik jam 2 petang kemudian mengikuti kelas, prep dan lain-lain. Lansung tidak ada penambahan dari segi ilmu Islam, tidak pula menyertai sebarang aktiviti yang mampu meransang percambahan minda dan mental seorang pelajar. Lantaran itu, apa yang Zahari perolehi selama dia bersekolah hanyalah pelajaran sahaja. Tidak ada yang menjadi identiti dan masuk sebagai ilmu dalam kehidupan seharian.
Semasa di tingkatan lima, prinsip dan pendirian dirinya berubah. Jika dulu, kehidupan yang ditempuh lebih sosial dan sukakan hiburan rock, keadaan selepas itu tidak lagi sama. Semua hanya kerana pengaruh rakan sebaya. Rakan sekelas bernama Taufik yang menjadi batu loncatan di atas segala yang terjadi. Setiap hari, semakin banyak pengalaman dan ilmu yang ditimba. Pemakaian turut di ubah. Songkok dan kopiah sudahpun menjadi ‘trademark’ dan akan dipakai setiap masa kecuali ketika tidur dan mandi sahaja. Zahari bersama beberapa rakan klik yang lain seumpama satu kumpulan sahabat yang kononnya bercita-cita untuk menegakkan syiar dan kehidupan Islam di dalam kehidupan di asrama. Lantaran terlalu aktif kempulan ini, mereka pernah dipanggil oleh ketua warden asrama selepas aktiviti kelas agama yang dibuat secara persendirian oleh mereka.
Semuanya amat indah bagi Zahari. Pengalaman manis itu tidak mungkin akan dilupakan dari kotak mindanya. Ketika saat perpisahan mereka selepas kertas terakhir peperiksaan SPM, pakatan yang diketuai Taufik itu sama-sama berjanji akan meneruskan amalan dan cara hidup Islam di tempat masing-masing.
“Ri, apa yang kau termenung tu. Kau nak makan ke tak?”, lamunan Zahari terhenti apabila ada suara yang menjerkah.
“ha, wak. Nak makan la ni”, jawabnya sambil tersenyum.
“apa la yang kau fikirkan tu. Ingat kat makwe ye?”, Wak Lilik pulak menyampuk.
“hish, mana ada makwe wak. Sape la yang nak Ri ni”,
“iye la tu. Nanti di politeknik boleh cari ye tak?”, tambah Wak Lilik lagi.
“itu akan difikirkan”, pantas Zahari menjawab dituruti gelak ketawa. Kesemua mereka turut gelak bersama. Ibunya menjeling tajam ke arah Zahari seoalah-olah memberi isyarat membangkang.
“alamak, panahan yang amat tajam. Cepat-cepat dikalihkan pandangannya ke tempat lain sambil tersenyum sinis.
Selepas semua urusan mereka selesai, mereka pun meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Di dalam perjalanan, Zahari menyambung kembali imaginasi-imaginasi yang diciptanya bagi menghadapai hari esok.
Setelah mengharungi lebuh raya selama lebih kurang 2 jam, akhirnya mereka pun sampai di Kuala Lumpur. Haluan terus di arah ke Cheras tempat tinggal makcik Zahari. Makcik Zahari ini tinggal di Kuala Lumpur mengikut suaminya yang bertugas sebagai pensyarah. Malam itu Zahari ditemu ramah oleh pakciknya yang tinggal di Kuala Lumpur itu pula. Sudah maklum, pakciknya adalah pensyarah di Malaysian France Institute. Sudah tentu segala perbualan tertumpu pada topik akademik dan juga hala tuju selepas itu. Walaupun kepenatan, Zahari terpaksa juga melayan pakciknya kerana dia adalah orang penting ketika itu.
“bidang apa yang Ri dapat di Poli tu?”, pakciknya bertanya.
“mekanikal air cond cik”, Zahari menjawab ringkas.
“kalau air cond, kat tempat cik pun ada. Berapa yuran pengajian kat Poli satu penggal?
“kemasukan baru ni Ri kene bayar dua ratus cik. Kalau tambah dengan barang-barang yang lain tu, hampir satu ribu juga kos semua.”, Zahari memberi jawapan agak panjang. Dijelingnya Wak Dom yang sudahpun terlena di sofa sebelah. Cemburu pula rasa dihati.
“kalau di tempat cik, mahal lagi Ri. Tapi, boleh sambung dengan mudah. Boleh pergi Perancis juga. Lagipun MARA ada tanggung. Tu yang mudah sikit.”, pakciknya mula menerangkan tentang tempatnya seolah-olah mempromosi bagaikan seorang jurujual.
“cik, kejap ye, Ri nak ke tandas.”, Zahari membuat helah untuk lari dari membincangkan topik yang dirasakan agak bosan.
“ha, pergilah. Lepas tu kalau Ri nak terus masuk tidur, boleh naik kat atas. Cik Sabariah dah siapkan tempat tu. Abah dengan mak Ri dah tidur kat atas tu.”, pakciknya membalas.
“baik lah cik. Nanti Ri naik atas”, ringkas jawapannya sambil tersenyum. Terasa puas dihati kerana dapat lari dari membincangkan topik tadi.
Malam itu agak dingin. Sebelum tidur, Zahari sempat lagi membelek dokumen untuk hari pendaftaran esok supaya esok pagi tidak kelam kabut dan tercari-cari dokumen dan barang yang penting. Tidak lupa juga barang peribadi sampingan yang sudah pasti akan menjadi teman apabila duduk keseorangan nanti. Salah satu dari barang tersebut sudah tentu album gambar yang akan menggamit memori dan menjadi sumber inspirasi pada pengajiannya nanti. Gambar ketika bernasyid di sekolah, sahabat-sahabat. Juga gambar famili serta rakan sekerja. Semua itu di anggap sumber kekuatan.
“kringgg”, jam loceng berdering menggamit keheningan pagi. Ibu Zahari bangun sambil memerhati penghuni yang lain di bilik itu. Kesemua masih lagi terlena seolah-olah sedang dibuai mimpi indah. Serentak itu juga, azan Subuh berkumandang. Ayah Zahari pula terjaga lantaran laungan azan yang lantang berpunca dari surau yang terletak kira-kira lima ratus meter dari kediaman pakciknya itu. Ayahnya lantas bangkit dan menghidupkan lampu. Zahari menggeliat. Sinaran lampu yang terang itu mengganggu ketenteramannya.
“Ri, bangun bangun. Dah Subuh ni”, ayahnya mengejutkan sambil mengerak-gerakkan kaki kanan. Ibunya sudah berada di dalam bilik air. Mungkin sedang mengambil wudhuk.
“abah dah mandi ke? Abah mandi dulu ye. Lepas tu kejutkan Ri semula”, Zahari menjawap dalam keadaan mata masih tertutup sambil memeluk bantal. Amat payah untuk dia melepaskan cengkaman tidur pagi itu. Mungkin kepenatan kerana perjalanan yang jauh. Mungkin juga tilam tempat tidur itu terlalu empuk menyebabkan sesiapa sahaja yang menggunakan amat berat untuk bangun.
Zahari hanya bangun setelah ayah dan ibunya selesai bersolat. Digagahi juga untuk bangun walaupun masih mengantuk. Dia bersolat sendirian kerana yang lain telahpun solat. Wak Dom dan Wak Lilik tidak tahu keadaan mereka kerana menginap di bilik lain. Setelah selesai bersolat, Zahari berbaring di sejadah. Terasa amat mengantuk sekali. Dia mula memejamkan mata. Beberapa ketika, dengkuran kecilnya mula kedengaran...


LANGKAH PERTAMA
Sinaran matahari di ufuk timur mula menampakkan cahaya ketika jam ketika itu menunjukkan pukul tujuh pagi. Sudah mula kedengaran deruan kenderaan wargakota yang bergerak menuju ke tempat kerja masing-masing. Terdapat juga beberapa penghuni kota yang berjoging di waktu pagi. Kebanyakan yang berjoging adalah yang berbangsa cina. Penghuni melayu mungkin sibuk dengan urusan kerja. Meninjau dari tingkat atas, Zahari mengambil peluang menyaksikan panorama Kuala Lumpur di waktu pagi.
Zahari turun ke tingkat bawah. Cik Sabariah dan ibu sedang sibuk menyiapkan sarapan. Wak Lilik pula membuat air minuman. Di sudut ruang tamu, Wak Dom, Cik Cot dan ayah sedang rancak bersembang. Tidak tahu apa tajuk utama, tetapi ada menyebut beberapa nama tokoh politik tempatan. Tentu perbualan mereka berkaitan suasana politik negara. Zahari tidak mahu masuk campur. Dia terus berjalan menuju ke dapur. Mungkin hendak membantu, tetapi hakikat sebenar adalah hanya mahu menyibuk sahaja. Secara tiba-tiba, Nadzirah meluru memeluk Zahari.
“abang, abang! Jom main buai di luar”, budak kecil yang berumur lima tahun itu mula merengek.
“pergi la main sana. Abang nak tolong mak ni”, Zahari menjawab lantas berjalan  ke arah ibunya yang sedang sibuk menggoreng nasi.
“mana ada engkau nak tolong pun Ri. Pergilah layan adik kau main buai sana. Nanti kalau sarapan dah siap, mak panggil”, ibunya mengarah.
‘yelah, jom, jom cepat”, Zahari menurut sambil meninggalkan dapur. Nadzirah tampak gembira apabila Zahari mahu bermain buai bersama. “yah, kejap je tau”. Zahari memberi amaran pertama kepada Nadzirah seolah-olah terpaksa.
Pagi itu mereka semua bersarapan bersama. Riuh juga keadaan ketika itu apabila sanak saudara berkumpul. Ada sahaja tajuk dan cerita yang hendak diborak bersama. Banyak topik yang tertumpu pada Zahari. Nasihat-nasihat, peransang, peringatan dan sebagainya.
Setelah selesai bersarapan, Zahari mula bersiap-siap. Pemeriksaan terakhir dibuat pada semua bekalan yang dibawa. Bimbang ada yang tercicir, nanti satu kerja pula hendak patah balik. Eloklah dirancang perjalanan supaya tidak ada yang tertinggal. Kata bijaksana ada mengatakan: sebelum berlari, pastikan tali kasut telah diikat dengan sempurna! Membawa maksud, sebelum kita melakukan apa juga perkara, pastikan kita telah melakukan persiapan yang baik dan sempurna agar perjalanan itu nanti tidak terganggu di pertengahan.
6hb 6 2001:
Suasana pada pagi hari ini cerah. Cuaca yang amat baik untuk melakukan aktiviti luar. Suasana di bandaraya Kuala Lumpur tetap tidak berubah. Masih lagi bising dan sibuk. Bising kerana bunyi kenderaan yang berpusu-pusu entah kemana halatuju. Bising kerana bunyi jentera-jentera yang membina bangunan di tengah ibu kota. Saban hari, ada sahaja bangunan baru yang didirikan. Ada sahaja bangunan yang hendak diubahsuai. Tidak kurang, ada juga bangunan yang dirobohkan. Semunya ini lantaran kerana kepentingan tertentu khususnya bagi mengejar status dan darjat. Bangunan yang tinggi adalah simbol kemegahan. Kemegahan pada yang empunya. Di sudut bangunan-bangunan itu, pasti ada seorang ataupun dua ‘pak pacak’ atau lebih mesra dengan panggilan pengawal keselamatan. Baju seragam memang cantik melambangkan kekemasan. Tapi status jawatan itu agak jelek pada pandangan orang. Paling memilukan, majotirinya melayu. Mengapa mesti melayu?
“inilah bangsaku”, fikiran Zahari mula mengkritik suasana dunia. Satu suasana yang harus diakui kewujudannya. Pandangan Zahari hanya diarah pada segala material ibu kota. Di samping memandang, fikirannya mentafsir. Seolah-olah mempraktikkan slogan, ‘berjalan, melihat, mentafsir’.
Proton Wira maron kepunyaan Wak Dom mula masuk ke daerah Ipoh. Lambaian Politeknik Ungku Omar mula terasa di benak Zahari. Serentak itu juga, degupan jantung yang dirasai semakin tidak stabil. Dibacanya doa penenang hati yang dihafal ketika sekolah dahulu. Semasa di sekolah, banyak doa-doa dan juga beberapa surah al-Quran yang dihafalnya. Semua itu gara-gara cemburu melihat rakan klik yang lain terlalu aktif menghafal surah sehingga berlumba-lumba untuk menjadi imam solat subuh di pagi jumaat. Menjadi kelaziman, setiap subuh jumaat, surah yang akan dibaca ialah surah sajdah. Maka, Zahari ingin turut serta dalam senarai itu.
“abang jalan terus, bila jumpa simpang empat, belok kanan ye”, pengawal lalulintas hari pendaftaran pelajar baru Politeknik Ungku Omar memberi petunjuk tatkala rombongan Zahari menyusuri pintu masuk. Kelihatan sudah ramai yang lalu lalang. Kereta-kereta juga tidak kurang banyaknya. Kereta mereka terpaksa terhenggot-henggot mengekori kereta di hadapan lantaran terlalu banyak kenderaan yang masuk ke pusat pengajian itu.
Zahari memfokuskan segala pandangan pada panorama itu. Panorama yang pertama kali disaksikan. Satu suasana di pengajian tinggi. Tiba-tiba pandangan itu bertukar menjadi tumpuan apabila dia ternampak satu wajah yang berada di dalam suasana ramai itu.
“macam pernah nampak”.
DETIK PERTEMUAN
Pendaftaran pelajar baru Politeknik Ungku Omar kemasukan Jun 2001 berjalan lancar. Proses pendaftaran selesai jam dua petang. Pelajar-pelajar yang baru mendaftar ditempatkan di kediaman masing-masing. Riuh juga keadaan kamsis ketika itu kerana dipenuhi penghuni baru bersama keluarga masing-masing. Jam lima petang, kamsis politeknik itu mula lengang. Kereta-kereta ibu bapa mulai surut.
Zahari ditempatkan di Blok E bilik bernombor E311. Semasa dia masuk ke biliknya, seorang penghuni telah sedia ada menempatkan diri disitu.
“Assalamualaikum, aku Zahari”, Zahari memulakan salam perkenalannya sambil menghulurkan tangan.
“Walaikumsalam. Aku Ismail. Panggil aku Mael je”, Mael memperkenalkan dirinya pula. “dari mana ni?”, Mael memberi soalan tambahan.
“peramah juga dia ni”, cetus hati Zahari. “dari Johor, kat Batu Pahat”, Zahari memberi respon sambil membuka almari untuk meninjau keadaan.
“aku dari Parit, Perak”, tanpa ditanya, Mael memaklumkan tempat asalnya. Terserlah loghat orang Perak pada tutur katanya tatkala itu.
Rancak mereka berbual. Bertukar-tukar cerita. Ada sahaja cerita-cerita yang dibualkan pada pertemuan pertama itu. Itulah kenalan pertama Zahari.
Minggu Suaikenal Kolej berlansung selama dua minggu. Bermula serta merta pada hari pertama pengajian. Merujuk jadual program, semua pelajar dikehendaki berkumpul di dataran kolej pada jam 6.30 petang.
Setelah berkemas-kemas dan menempatkan barang peribadi, Zahari bergerak ke tandas untuk mandi. Blok E mempunyai tiga aras dan setiap aras terdapat 2 buah tandas dan bilik air. Bilik Zahari terletak di aras yang paling atas. Semasa dalam perjalanan selepas selesai mandi, Zahari terserempak dengan seseorang. Orang yang diamati ketika di hari pendaftaran pagi tadi. Bergelojak dihatinya apabila melihat pelajar itu. Di sudut hati, mengatakan pelajar ini agak istimewa. Tapi tidak tahu di mana istimewa itu.
“Assalamualaikum. Nak pegi tandas ke?”, Zahari memulakan bicara tatkala mereka bertembung. Serentak itu juga tangan kanan dihulurkan.
“Walaikumsalam, ye, nak ke tandas ni, nak mandi. Kejap lagi dah nak kena kumpul kat bawah”,
“oh ya. Aku Zahari. Engkau?”
“aku Shahrul. Boleh panggil Shah.”, Shah menjawab.
“shahrul ye. Okay. Pergilah mandi. Aku nak ke bilik ni, nak bersiap.”,
“Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Perhatian kepada semua pelajar baru Kamsis Politeknik Ungku Omar, anda semua di minta turun ke dataran kamsis sekarang juga”, pengumuman dari pembesar suara kolej mengejutkan para penghuni. Ada juga yang sedang tidur terjaga dengan mengejut. Adat minggu suaikenal, sememangnya agak memenatkan.
Petang itu, satu taklimat ringkas disampaikan oleh ketua ajk kamsis. Selesai taklimat, semua pelajar diarahkan ke masjid.
Semasa di masjid, ada slot kuliah maghrib selepas solat berjemaah. Semua pelajar setia menunggu sehingga isyak walaupun tiada arahan yang dikeluarkan untuk berbuat begitu.
Semasa kuliah maghrib, Zahari duduk paling hadapan. Tiba-tiba, dia ternampak kelibat Shah. “subhanallah”, hati kecilnya berkata. “dia memakai serban!”
Kuliah maghrib sedang berjalan. Namun fokus Zahari terbahagi dua.
“aku mesti dampinginya!”
Selepas solat isyak, Zahari bertemu dengan Shah ketika Shah sedang duduk di belakang ruang solat masjid. “Shah, aku tanya sikit bole?”, Zahari bertanya
“ha, tanyalah”, Shah membalas
“asal dari mana ni”,
“dari Hutan Melintang”,
“dulu asal sekolah mana?”
“Sekolah Teknik Teluk Intan”
“kos?”
“KFL, Kimpalan dan Fabrikasi Logam”,
“ooo”
“kau?”
“aku Sekolah Teknik Batu Pahat, ambik PPU, air cond”,
“kau asal Batu Pahat la ye?”,
“a’ah”,
Sedang mereka berbual itu, datang dua orang yang memakai tag nama ‘AJK’. Seorang memakai serban, seorang hanya memakai kopiah biasa.
“ni kenapa duduk lagi ni? Semua orang dah balik bilik. Lepas ni ada perasmian kat dewan.” Seorang ajk yang tertulis nama Syam di tag namanya bersuara.
“erk maaf bang. Ok kami gerak sekarang”, Shah menjawab sambil bingkas bangun. Zahari mengekori.
‘sat, sat. Hangpa berdua sapa nama ni?”, seorang lagi bertanya. Tertulis di tag nya nama hussin.
“saya Zahari”, Zahari jawab ringkas
“ni soghang lagi?”,
“saya Shahrul”, Shah juga menjawab ringkas.
“ok. Selamat datang ke Politeknik Ungku Omar. Lepaih ni hangpa dok blajaq betul-betul. Ni kami ajk kamsis. Buleh la kalau nak tanya apa-apa.”, ajk bernama Hussin itu agak ramah pula.
“baik bang.”, Shah menjawab dan terus berlalu meninggalkan ajk berdua itu. Zahari mengiringi.
Minggu Suaikenal pelajar baru berlansung selama dua minggu. Hari-hari berlalu dengan mengikut jadual di dalam tentatif program. Ada juga beberapa program yang tak mengikut jadual. Mungkin terdapat beberapa masalah yang menyebabkan sesuatu program itu dibatalkan. Selain itu, antara rutin harian semasa Minggu Suaikenal ini ialah ketika hendak ke masjid. Semua pelajar-pelajar dikehendaki beratur di dataran kamsis sebelum dibenarkan ke masjid. Ketika inilah semua pelajar dibimbing dengan alunan zikir munajat dan lagu nasyid. Zahari menilai semua itu. Ramai juga ajk lelaki yang berserban dan berkopiah. Lihat pula ajk perempuannya yang majoriti bertudung labuh.
Sepanjang minggu Suaikenal itu juga semakin merapatkan hubungan antara Zahari dan Shahrul. Mereka seolah-olah sudah menjadi ‘satu kepala’. Zahari juga sudah mula memakai serban kerana ‘ada geng’. Dulu semasa di sekolah teknik, Zahari sudah sememangnya memakai serban.
“Adik-adik, hari ni kita akan belajar satu lagu baru. Kita nak jadikan lagu ni lagu tema Minggu Suaikenal kita”, masih lagi terngiang-ngiang suara abg Hussin petang tadi ketika mengalunkan lagu tema Minggu Suaikenal.
Umat islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik dari semalam....
Jangan buang masa, siapa kata kita tidak boleh,
Kita ada allah maha kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Doa sebagai senjata......
Jangan buang masa, siapa kata kita tidak boleh,
Kita ada allah maha kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Doa sebagai senjata......
Umat Islam sentiasa boleh...
Umat Islam sentiasa boleh...
“sedapkan lagu yang kita nyanyi siang tadi. Kau pernah dengar tak lagu tu?”, Zahari berbual bersama Shah semasa pulang dari masjid.
“tak pernah. Erm, memang sedap. Sungguh enak dimakan begitu saja”, Shah menjawab sambil tergelak besar.
“ceh, buat lawak plak ngko”
Minggu Suaikenal semakin hampir ke penutup. Tergambar riak gembira di wajah pelajar-pelajar. Keyakinan bahawa selepas ini hilanglah ‘penderitaan’ di sepanjang minggu tersebut. Siang tadi, majlis penutup Minggu Suaikenal Kampus. Di akhir majlis penutup itu, sebelum pelajar beredar pulang, ada satu pengumuman dari ajk yang agak menarik minat Zahari.
“kepada sesiapa yang berminat nak masuk Usrah, selepas ini harap boleh tunggu di hadapan pentas dewan ini. Terbuka kepada semua pelajar lelaki dan perempuan.”, pengumuman dibuat oleh seorang abang ajk.
“Ri, jom join! Macam best je”, Shah mengajak.
“aku ok je. Jom kita pegi depan sana”,
“ok, sape yang nak join, datang sini, just tulis nama kat borang. Lepas ni, kamu akan kita panggil semula.”, abang ajk tadi mengarah.
“abang siapa nama”, Zahari bertanya
“nama abang Zulhadi. Panggil abang Zul je.”, jawabnya. Ramai juga yang masuk Usrah.
“shah, usrah ni ape? Zahari bertanya kepada Shah semasa dalam perjalanan pulang ke kamsis.
“ntah, aku pun tak tau sangat sebenarnya. Tapi rasanya macam best je. Tu yang aku ajak kau”, Shah menjawab
“lor kau ni. Aku ingat kau tau”
malam ini pula adalah majlis penutup untuk peringkat kamsis pula. Shah masuk persembahan. Tema ‘kepahlawanan melayu melaka’. Setiap blok dikehendaki menyampaikan persembahan berbentuk drama atau pentomen.
Malam menjelma. Program penutup berjalan lancar dan setiap blok mempersembahkan persembahan yang menarik. Perkara yang ditunggu-tunggu pun tiba...
‘saya dengan ini merasmikan majlis penutup, minggu suaikenal peringkat Kamsis Politeknik Ungku Omar”, ucapan terakhir Ketua Warden Kamsis disambut meriah dengan tepuk tangan dan sorakan. Merdeka!



BERSAMBUNG


------------------------------
Nota: Cerita / Cerpen ini ditulis pada tahun 2007 dengan hajat nak buat satu novel. Sampai sekarang kisah ini belum dibuat sambungan lagi.
Next
This is the most recent post.
Previous
Older Post

Post a Comment

 
Top