Dua insan ini telah pergi meninggalkan kita. Meninggalkan dunia yang fana ini. Mereka sudah berpindah alam yang mana setiap orang pasti akan melaluinya.

Namun, pemergian kedua-dua insan ini bukan lah pergi yang begitu sahaja. Mereka pergi meninggalkan kesan. Mereka pergi meninggalkan satu ingatan buat sesiapa yang menyedarinya.

Ada banyak kemiripan dan persamaan yang boleh ditulis dan dicoretkan bagi mengimbau kenangan sejarah lalu yang takkan mampu ditutup apapun jua perkara.


Kisah Hidup Ashaari Muhammad.

Satu nama yang tidak asing lagi buat para pendokong dan penyokong perjuangan Islam pada era 80-an hingga 90-an. Mungkin generasi hari ini tidak pernah tahu sejarah ini dan jika tahu pun, hanya melalui pembacaan dan tidak merasai suasana hidup ketika itu.

Ashaari Muhammad, seorang insan biasa yang begitu gigih mahu memperjuangkan Islam. Ashaari Muhammad pernah menganggotai parti PAS tetapi keluar daripada selepas merasakan Pas tidak serasi dengannya untuk memperjuangkan Islam. Lantas, beliau bertindak menubuhkan jemaahnya sendiri yang digelar Al-Arqam.

Daripada sebuah pertubuhan dakwah biasa yang tidak dipedulikan orang sangat, jemaah Arqam pimpinan Ashaari Muhammad terus pesat membangun dengan segala macam aktiviti dan program beserta pembangunan masyarakat melalui muamalah, dakwah, hiburan dan sebagainya.

Sampai satu tahap, Al-Arqam dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang cukup berpengaruh sebagai jemaah yang memperjuangkan Islam lengkap dengan cara hidup yang syumul. Perkampungan Islam yang didirikan beserta masyarakat Islam yang hidup dengan cara hidup Islam amatlah diminati dan memberi persepsi yang positif buat masyarakat sekeliling.


Zaman Kejatuhan Ashaari Muhammad

Apabila melihat kepesatan dan kemajuan Al-Arqam, jemaah ini dilihat semakin maju ke hadapan dengan Ashaari Muhammad mengembangkan lagi pengaruh ke luar negara. Namun, di sebalik kepesatan kemajuan Arqam itu, sedang menanti sesuatu pekung terdedah dan juga mata yang mengintai untuk melemahkan pergerakan ini.

Al-Arqam di puncak kegemilangannya diheret dengan dakyah ketaksuban yang agak serius. Apabila sesebuah organisasi ataupun individu itu terlalu berjaya, akan ada jarum yang mencucuk untuk menjatuhkan sesebuah kejayaan itu. Dakyah kesesatan dan ketaksuban di dalam Al-Arqam dapat dihidu oleh pihak berkuasa. Ianya berpunca daripada taksub, fanatik dan taat yang berlebih-lebihan oleh para pengikut Al-Arqam sehingga mengangkat darjat Ashaari Muhammad ke satu tahap yang tidak sepatutnya. Di tambah pula dengan krisis kepimpinan yang melanda Al-Arqam pada ketika itu.

Akhirnya, Al-Arqam dilumpuhkan pergerakannya selepas difatwakan sesat dan menyimpang dari ajaran Islam. Segala empayar dan cara hidup Arqam yang diusahakan Ashaari Muhammad hancur hanya kerana kesilapan yang sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka.

Ashaari Muhammad ditahan di bawah akta ISA bersama beberapa pengikut setianya pada ketika itu.


Kisah Hidup Asri Ibrahim

Asri Ibrahim seorang insan yang dikenali ramai selepas pengharaman Al-Arqam. Beliau bersama beberapa sahabatnya menubuhkan kumpulan Rabbani pada tahun 1997 dan tercetuslah satu fenomena nasyid baru ketika itu.

Namun, kisah hidup Asri Ibrahim sebelum itu tidak ramai yang mengetahui. Asri Ibrahim merupakan penyanyi utama kumpulan nasyid Nada Murni. Beliau boleh dikatakan ketua kepada lujnah kesenian al-Arqam. Beliau menjadi ikon anak-anak muda dan ahli Arqam ketika itu sebagai seorang penyanyi yang memiliki suara yang lunak dan lain dari yang lain.

Selepas Al-Arqam diharamkan, halatuju Asri dan Nadamurni menjadi tidak keruan. Sama ada Nada Murni mahu dibubar seperti Arqam atau sebaliknya, ianya menjadi perbincangan serius antara mereka.

Tempoh tersebut dianggap sebagai tahun kedukaan bukan ahli-ahli Nadamurni dan juga beberapa penasyid lain yang bernaung di bawah bumbung OVA Production, sebuah syarikat di bawah Arqam ketika itu. 

Apabila Farihin Abdul Fatah dan kumpulan The Zikr membuat album baru dan membuat penjenamaan dengan nama baru yang dipanggil Raihan, ianya telah membuka mata yang lain.

Ini bermakna, Nada Murni perlu dibubarkan dan buat penjenamaan semula dengan nama baru agar mereka tidak lagi dikaitkan dengan al-Arqam.

Akhirnya Nada Murni pun dibubarkan dan ahli-ahli kumpulan ini berpecah dua menjadi Rabbani dan Hijjaz.

Ketiga-tiga kumpulan ini muncul bersama penerbit album masing-masing yang juga pernah bertanggungjawab di dalam album-album Nada Murni.

Berikut adalah penerbit dan syarikat penerbitan:
RABBANI: Sokhibul Fadil Sabikin - Permata Audio Production (M) Sdn Bhd.
HIJJAZ: Waharp Yusof - Telaga Biru Sdn Bhd
RAIHAN: Farihin Abd Fatah - Zamrud Record


Meninggal Dunia

Kedua-dua insan ini telahpun meninggal dunia. 
Asri Ibrahim meninggal dunia pada 13 Ogos 2009. (22 Syaaban 1430H)
Ashaari Muhammad meninggal dunia pada 13 Mei 2010. (29 Jamadil Awal 1431H)


Meninggalkan Nama

Mereka pergi bukan begitu sahaja. Mereka pergi meninggalkan nama dan perbuatannya yang dibuat atas muka bumi ini. Sehingga hari ini, nama kedua-dua hamba Allah ini masih lagi disebut-sebut orang di sana sini. Suaranya, tulisannya dan cerita-cerita tentang kebaikannya masih kedengaran.

Betul juga kata pepatah. Seseorang itu, akan sentiasa dikenang dan diingati selepas dia meninggal dunia. Dan ciri seseorang itu husnul khatimah juga boleh dinilai melalui peninggalannya selepas dia pergi.

Ashaari Muhammad mungkin ramai yang bercakap tentang kesesatannya dalam perjuangan al-Arqam. Namun, sebelum dilabelkan sesat, beliau membangunkan Islam yang bukan calangnya. Malah ramai yang mendapat manfaat atas apa yang diusahakannya. Kita tak tahu nilai dirinya disisi Allah. Kemungkinan juga jika benar dirinya menyeleweng, dan telah bertaubat, hanya Allah yang tahu situasinya.

Malah, selepas Ashaari Muhammad dan Asri Ibrahim meninggal dunia, dilihat banyak pula video, artikel dan audio sejarah perjuangan mereka semasa di Al-Arqam dan Nadamurni dahulu tersebar di alam maya dan boleh dinikmati oleh semua masyarakat.


Penutup

Walau apapun, kedua-duanya sudah selesai tugas di muka bumi ini. Anda yang sedang membaca ini, tugas masih belum selesai selagi mana Allah belum memanggil untuk ke alam sana. Teruskan menjalankan rutin dan kehidupan seharian demi menggapai redha Allah swt.

Post a Comment

Anonymous said... January 25, 2019 at 7:52 AM

Yang merancang melingkupkan serta strategi menghancurkan AL Arqam serta menangkap Asaari Muhammad adalah Dato' seri Anwar Ibrahim..uqsumbillahi al azim .dia merancang dengan 5 org ketua special branch yg power merancang sehingga berjaya ..tahniah

Random Posts

3/random/post-list
 
Top