Kumpulan XPDC baru sahaja melancarkan lagu terbaru mereka berjudul Tanda Tanya. Saya baru pertama kali mendengar beberapa hari lalu. Kalau sekali dengar memang belum masuk feel lagi dan susah nak layan. Bila dah dengar banyak kali, baru lah dapat menghayati lagu ini merangkumi irama dan juga liriknya.

Jika melihat di laman Youtube, penerbit kumpulan XPDC iaitu Life Records memuat naik video lagu XPDC Tanda Tanya ini sebanyak 3 kali. Yang pertama adalah dengan judul Tribute XPDC Tentang Tragedi Yang Berlaku Kepada Malaysia. #MH17 #MH370 yang dimuatnaik pada 20 Julai 2014. Dah lama juga lagu ini. Sejak Julai 2014 lagi. Mungkin ramai yang tak perasan.

Selepas itu, Life Records memuatnaik lagi lagu XPDC Tanda Tanya dengan judul XPDC - Tanda Tanya (2014) #TandaTanya pada 2 September 2014. Dalam video ini, fokus video adalah untuk menyelitkan lirik lagu ini agar pendengar mudah menghayati. Saya lebih berminat untuk melihat dan menghayati lagu ini menerusi video yang ini. Perkara ini adalah kerana, dengan mengikuti rentak lagu ini sambil mengikut bait liriknya, lebih mudah untuk memahami akan kemana halanya lagu ini.

Manakala, yang terkini pula, Life Records memuat naik lagi lagu ini dengan judul XPDC - Tanda Tanya (Official Music Video) pada 7 November 2014. Video ini pastinya semua sedia  maklum adalah Video Klip Rasmi lagu Tanda Tanya sebagai tujuan promosi dan juga komersial. Kelihatan agak janggal bagi semua band muzik yang tidak ada pemain bass dalam video klip ini. Mungkin pihak penerbit atau XPDC sendiri masih belum menemui pengganti Zuar yang menarik diri dari kumpulan XPDC.

Ulasan saya pada artikel ini difokuskan kepada lirik lagu XPDC Tanda Tanya.

Boleh dikatakan ada banyak maksud tersirat yang terkandung di dalam lagu ini. Maksud sebenar lirik ini dicipta mungkin hanya penulis lirik itu sahaja yang tahu. Namun, saya selaku pendengar berhak untuk menilai lirik lagu XPDC Tanda Tanya ini mengikut perspektif sendiri.

1. Tribute Tragedi di Malaysia

Pertama kali lagu ini didedahkan kepada umum, ianya memberikan satu tema bahawa sebagai satu penghormatan terhadap beberapa tragedi yang melanda Malaysia. Fokus terbesar terarah pada tragedi pesawat MH370 yang pastinya memberikan pelbagai tanda tanya kepada semua.

Lagu ini memberikan satu persoalan akan apa sebenarnya yang terjadi kepada MH370?. Salah satu rangkap di dalam lagu ini ada menyatakan:

Andainya di takdirkan berakhir
Kan ku abadikan kasih dan rindu ini
Mekar subur untuk selama-lamanya
Kan ku telan walaupun pahit

Lirik ini seolah-olah membuat satu prasangka bagi mengakhiri setiap tanda tanya dengan membuat satu andaian bahawa semuanya telah berakhir. Tragedi itu mungkin berakhir dengan menganggap pesawat MH370 terhempas di dasar lautan yang dalam dan tidak dijumpai.



2. Ikatan Rumah Tangga

Semua orang tidak tahu perjalanan sesebuah rumah tangga yang dibina sehingga ke tahap mana. Perkara ini juga merupakan satu tanda tanya kepada semua pasangan yang telahpun mendirikan rumah tangga.

Pertama kali saya mendengar dan menghayati lirik lagu ini, fokus saya lebih terarah kepada persoalan rumah tangga yang terus akan menjadi tanda tanya sehingga sesuatu yang ditakdirkan itu berlaku.

Di dalam alam rumahtangga, penghujung ikatan rumah tangga itu akan berakhir dengan pelbagai keadaan. Samaada berlakunya penceraian, suami meninggal dunia terlebih dahulu ataupun isteri meninggal dunia terlebih dahulu. Malah mungkin juga takdir menentukan keduanya meninggal dunia bersama-sama. Itu pengakhiran dalam sesebuah rumah tangga di dunia ini.

Keseluruhan lirik lagu ini pada pendapat saya sangat tepat jika mahu difokuskan kepada perjalanan rumah tangga yang kita semua pun tak tahu apa kesudahannya.

Anda boleh menghayati lirik lagu ini di bawah sambil mendengar lagunya.



3. Ikatan Pertunangan / Percintaan

Lirik lagu ini juga boleh dikaitkan dengan ikatan pertunangan ataupun percintaan yang tidak tahu apa kesudahannya. Lagu-lagu kumpulan rock di Malaysia memang banyak membawa tema percintaan. Lirik lagu ini juga tidak terkecuali juga mendapat tempias tema percintaan.

Cuma, lirik lagu XPDC Tanda Tanya ini bukanlah sebuah karya percintaan yang memualkan, membosankan dengan tema cinta yang berlebih-lebih. Tema percintaan dalam lagu ini lebih kepada sebuah persoalan dan membiarkan pendengarnya berfikir sendiri sejauh mana hubungan percintaan ataupun pertunangan yang diikat itu akan menemui kesudahan yang diharapkan ataupun terhenti di separuh jalan.

Mungkin ramai yang mempunyai sejarah cinta masing-masing. Ramai yang putus cinta. Tidak kurang, ramai juga yang putus ikatan pertunangan. Ya, semua itu adalah takdir Allah yang telah menentukan segalanya. Takdir Allah yang pastikan menjadi tanda tanya kepada kita selagi mana takdir itu belum berlaku.



4. Pengakhiran Hidup Muslim

Saya memfokuskan tajuk ini kepada muslim. Walhal, saya boleh ulas juga secara umum kepada hidup manusia. Tetapi bagi saya, memfokuskan kepada Muslim menjadikan ulasan saya ini lebih terarah.

Pastinya menjadi tanda tanya, bagaimana pengakhiran hidup kita sebagai seorang Islam di muka bumi ini? Kita hidup di atas muka bumi dengan berbuat pelbagai aktiviti dan amalan. Tetapi sejauh mana nilai diri kita di sisi Allah swt. Dan yang paling penting dan menjadi tanda tanya, adakah kita mampu kekal menjadi seorang yang beriman sehingga akhir hayat kita?

Pada masa ini, mungkin kita boleh berkata, Ya!, aku orang beriman. Tetapi dunia ini memang penuh dengan pelbagai pancaroba. Kita lihat sahaja di sekeliling kita. Orang yang beriman juga boleh berubah menjadi seseorang yang berlawanan dengan kehendak Allah swt.

Kita renung pula masa depan akan datang apabila zaman fitnah sudah bermaharajalela. Sejauh mana kita mampu menampan dan menangkis segala serangan fitnah ini? Sekuat mana kita mampu untuk tidak terpedaya dengan pujukan dan tipudaya fitnah? Sejauh mana kita mampu melawan fitnah dajjal yang cukup licik dan bijak melakukan tipudaya? Semuanya itu adalah Tanda Tanya.

Memetik sedikit rangkap lagu XPDC Tanda Tanya ini:

Mungkinkah kekal selama-lamanya
Kau yang awal dan akhir
Awal dan akhir
Di hati ini

Menjadi tanda tanya, mungkinkah iman kita ini akan kekal selama-lamanya di hati ini? Mungkinkah Allah akan kekal selama-lamanya dari awal hingga akhirnya nanti? Mungkinkah Islam kekal selama-lamanya di hati ini? Semoga kita semua menjawab dengan penuh yakin: YAA!!! terhadap persoalan di dalam rangkap lagu ini serta berharap agar Allah terus memelihara kita dalam jagaanNya.



Begitulah sedikit sebanyak ulasan saya perihal lagu baru XPDC Tanda Tanya ini. Mungkin pandangan ini berbeza mengikut penilaian orang lain. Namun, seperti yang telah saya katakan di awal tadi, saya berhak untuk membuat penilaian ke atas apa yang saya dengar dan hayati ini.

Saya mohon maaf kepada sesiapa yang bukan penggemar muzik selain nasyid yang membaca artikel ini. Mungkin muzik ini janggal dan tidak serasi dengan segelintir orang.

Berikut adalah lirik lagu ini.



XPDC - Tanda Tanya

Bagaikan nadi dan denyutannya
Ohh.. Tanpa hentinya
Hingga ke akhirnya
Kasih di junjung di kepala
Melebihi segala, oh.. Segalanya

Andainya di takdirkan berakhir
Kan ku abadikan kasih dan rindu ini
Mekar subur untuk selama-lamanya
Kan ku telan walaupun pahit

Mungkinkah kekal selama-lamanya
Kau yang awal dan akhir
Awal dan akhir
Di hati ini

Mungkinkah untuk selama-lamanya
Atau hanya seketika
Itu jadi tanda tanya
Oh..Tanda tanya, huooo…

Andainya di takdirkan berakhir
Kan ku abadikan kasih dan rindu ini
Mekar subur untuk selama-lamanya
Kan ku telan walaupun pahit

Mungkinkah kekal selama-lamanya
Kau yang awal dan akhir
Awal dan akhir
Di hati ini

Mungkinkah untuk selama-lamanya
Atau hanya seketika
Itu jadi tanda tanya
Oh..Tanda tanya, huooo…

Mungkinkah kekal selama-lamanya
Kau yang awal dan akhir
Awal dan akhir
Di hati ini

Mungkinkah untuk selama-lamanya
Atau hanya seketika
Itu jadi tanda tanya
Oh..Tanda tanya, huooo…

https://www.youtube.com/watch?v=EE2ur8vptzk

Post a Comment

Syahrul said... November 29, 2014 at 7:40 PM

Ulasan yang sangat best. :)

alongsafa said... December 2, 2014 at 12:37 AM

Terima kasih tuan

Random Posts

3/random/post-list
 
Top