Kehidupan ini tidak dapat lari daripada melalui pelbagai ranjau yang merintangi di setiap langkah perjalanan kita. Ranjau yang menjengah ini tidak lain tidak bukan adalah merupakan satu medium untuk menjadikan diri kita menjadi lebih matang dan memahami akan erti kehidupan ini.

Melalui segala macam ranjau ini ada kalanya menjadikan diri kita seorang yang lebih bersedia akan apa juga yang bakal mendatangi perjalanan kehidupan. Kerana ianya sudah pasti akan terjadi. Cuma, bila, dimana, siapa, bagaimana dan pelbagai persoalan itu akan muncul dan akan terjawab di kemudian hari.

Ranjau Di Alam Pengajian

Jika dahulu, kita sebagai seorang manusia yang bergelar pelajar. Ranjau kehidupan dirasakan amat mencabar. Dengan dugaan diwaktu pembelajaran, peperiksaan, menanti keputusan peperiksaan, dimarahi guru, masalah dan disiplin dan sebagainya. Jika hari ini disingkap kembali kenangan di zaman persekolahan, sudah pasti, ranjau-ranjau yang berlaku pada ketika itu sedikit sebanyak menjadikan ‘kita’ pada hari ini.

Selepas mengharungi dunia persekolahan, ranjau pula dihadapi semasa di pengajian tinggi. Ujian-ujian yang datang sudah pasti lebih getir berbanding di sekolah dahulu. Tidak keterlaluan jika dikatakan, ranjau yang dilalui di IPT akan menterjemahkan diri kita pada masa akan datang. Perkara ini adalah kerana, kebanyakan masyarakat yang ada di Malaysia malah mungkin di dunia kini, mendapat ‘norma’ kehidupannya bermula daripada IPT.

Sebagai contoh, jika di IPT seseorang itu aktif dalam berpersatuan mahupun organisasi. Apabila telah menamatkan pengajian, mereka akan terus bergiat aktif dengan persatuan mahupun organisasi di dalam masyarakat tidak kiralah ianya NGO, politik, Badan Kebajikan, Persatuan tertentu dan sebagainya.



Ranjau Selepas Pengajian

Anjakan baru dalam episod menghadapi ranjau kehidupan ini setelah seseorang memasuki fasa alam pekerjaan. Jika sebelum ini, makan minum belanja ditanggung ibu bapa ataupun pinjaman pelajaran. Kini sudah tiada lagi semua itu. Seseorang akan mula hidup berdikari dengan menyewa rumah dan berkenderaan sendiri. Makan minum dan perbelanjaan diuruskan hasil daripada gaji yang diperolehi.

Ranjau-ranjau yang biasa dan lumrah dilalui pada fasa bekerja ini adalah ranjau percintaan. Apabila sudah bekerja, sudah memasang angan angan untuk berumahtangga pula. Maka ikhtiar pun bermula untuk mencari pasangan hidup. Bertanya rakan sekerja, rakan sepengajian dahulu malah ada juga yang mencari-cari pasangan hidup di ruang internet seperti Laman sosial tertentu mahupun laman komuniti.

Ranjau ‘kebiasaan’ ketika ini adalah putus cinta bahkan mungkin putus tunang. Perkara ini yang sering menghantui seseorang pada fasa tersebut. Mahu tidak mahu, kena mahukan juga. Kerana berkemungkinan setiap yang berlaku ada titik pengajaran untuk diri kita sendiri.

Ranjau dilalui dengan penuh tabah. Akhirnya insan ini pun bertemu pasangan yang serasi dengannya dan melansungkan perkahwinan. Proses pengurusan perkahwinan itu sendiri tidak lari daripada menghadapi ranjau tersendiri. Pasangan merajuk saat-saat mahu di akad nikahkan. Itu biasa terjadi. Pengurusan perkahwinan yang agak kelam kabut dan terkurang di sana sini.. itu biasa. Malah sangat biasa kedengaran selepas majlis perkahwinan, rakan kita menyapa: ‘sampai hati ko tak jemput aku’. Hakikatnya bukan tidak menjemput, tetapi dek kelam kabut itu, rakan baik sendiri pun terlupa jemput. Ranjau ranjau….



Onak Duri Alam Rumahtangga

Melalui fasa-fasa permulaan hidup di alam rumah tangga akan berhadapan dengan ranjau yang agak getir. Ketika ini adalah proses mengenali dengan lebih mendalam pasangan hidup seseorang. Jika dahulu, semua yang dihadapi adalah luaran sahaja. Tetapi selepas berkahwin, segala macam dalaman akan diterokai dan ianya akan dapat mematangkan pasangan dalam erti kata ‘menerima seadanya’ pasangan hidup kita.

Akan ada kedengaran bibit bibit merajuk, mempertahankan ego, tidak mahu mengalah dan segala macam reaksi apabila berhadapan dengan ranjau tertentu. Dewasa ini, pasangan muda yang berkahwin akan mendepani hidup berumahtangga secara jarak jauh. Masing-masing terpaksa hidup berasingan kerana memenuhi tuntutan kerjaya yang telah sedia dijawat sebelum berkahwin lagi. Bila perkara ini terjadi, ranjau yang mendatang sudah tentu berlipat gandanya berbanding pasangan yang terus sebumbung.

Mendepani ranjau di awal alam perkahwinan ini sememangnya memerlukan kekuatan. Jika tidak, apa yang dicatur tidak akan menjadi dan semuanya akan tampak tidak kena. Kebahagiaan yang diharap selepas berkahwin akan menjadi sebaliknya jika sesuatu ranjau tidak dihadapi dengan matang dan bijak. Senjata utama dalam fasa ini adalah sabar. Suami sebagai ketua keluarga perlu lebih bersabar dan bijak dalam mengepalai bahtera yang dibinanya.

Rumahtangga akan melalui fasa yang konsisten dan tenteram setelah masing-masing mula serasi dan memahami antara satu sama lain. Biasanya perkara ini berlaku setelah 3 atau 4 tahun selepas berkahwin. Bahagia yang dicari akan berputik perlahan-lahan sepertimana mekarnya bunga yang indah berkembang di waktu pagi yang hening. Kemanisan berumahtangga itu akan dirasai apabila ranjau yang hadir dirasakan hadiah daripada Allah untuk mematangkan lagi rumah tangga.



Kehadiran Cahaya Mata

Kehadiran cahaya mata mengundang pelbagai sinopsis. Biasa orang berkata, kehadiran cahaya mata satu keberkatan dan rezeki akan melimpah ruah. Itu saya tidak mahu nafikan, ianya juga tidak salah untuk diperkatakan. Cahaya mata adalah rezeki daripada Allah kepada pasangan suami isteri. Hadirnya cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga. Melayani perangai dan fe’el anak ini kadangkala menimbulkan aksi antara suami isteri. Sebagai contoh, si anak terkencing di dalam seluar. Si isteri akan menyalahkan suami kenapa tak bawa ke tandas.. si suami pula akan mencari alasan yang munasabah untuk tidak rasa bersalah… di situlah wujudnya ranjau yang menimbulkan bibit kebahagiaan…

Melalui episod kehidupan sememangnya pelbagai. Bercerita ranjau hanya pada sudut kehidupan peribadi sahaja pun, pelbagai perkara boleh dirungkai. Ini belum lagi bercerita perihal ranjau dalam perjuangan tertentu seperti memperjuangkan negara, memperjuangkan Islam, organisasi bekerja, dan sebagainya.

Apa yang boleh dikatakan, hadapi ranjau yang mendatang dengan kematangan dan fikiran yang bijak. Segala perkara yang dihadapi dengan bijak, insyaAllah hasil kesudahannya nanti juga adalah sebuah kenikmatan.

Post a Comment

Random Posts

3/random/post-list
 
Top