Kebelakangan ini, fenomena bola sepak Malaysia seperti bernyawa dan meriah di sana sini. Bukan perkembangan bola sepak dan fenomenanya yang mahu saya bicarakan. Apa yang saya ingin timbulkan di sini adalah tabiat pemain-pemain yang terbabit dalam mana-mana perlawanan. Menyusuri setiap perlawanan bola sepak, saya dapati adanya tabiat atau kelakuan pelik yang dilakukan oleh pemain bola sepak ini.



Sujud Apa?

Perkara utama yang saya ingin sentuh dalam artikel ini adalah berkaitan tabiat bersujud apabila berjaya menjaringkan gol. Perkara ini dilihat hanya dilakukan oleh pemain yang beragama Islam. Tercetus di hati saya, apakah tujuannya mereka ini semua bersujud apabila menjaringkan gol? Dari ajaran siapa? Adakah hanya mengikut-ikut? Bisik hati saya mengatakan yang mungkin mereka ini ingin melahirkan rasa syukur kerana menjaringkan gol lantas bersujud untuk mengucapkan terima kasih kepada Allah.

Sesungguhnya perbuatan itu adalah bidaah, bukan daripada Islam dan boleh menghampiri syirik.

Kepada pemain bola sepak yang membaca artikel ini, diharap dapat menerima teguran ini dan tidak mengulanginya pada perlawanan akan datang. Mungkin sebelum ini, para pemain tidak tahu atau tidak ada yang menegur. Atau mungkin juga mereka menyangka perbuatan bersujud ini tidak ada masalah dalam Islam.



Mengapa Bidaah?

Bidaah adalah sesuatu perkara yang Rasulullah tak lakukan. Bila disebut bidaah, ada pula yang menjawab, "memanglah, Rasulullah dulu mana ada main bola sepak". Betul, memang dalam mana-mana riwayat Rasulullah tidak ada bermain bola sepak. Bola sepak adalah satu permainan sukan yang muncul atas idea daripada manusia selepas zaman Rasulullah. Yang dimaksudkan bidaah adalah satu amalan yang dibuat dengan tidak ada panduan mengikut syariat. Perkara yang dibuat atas sandaran ibadah/agama tetapi hakikatnya agama tidakpun menerima amalan itu.

Jika ditanya kepada pemain ini, saya yakin mereka akan jawab mereka sujud syukur tanda terima kasih pada Allah kerana berjaya menjaringkan gol. Ini adalah bidaah. Mereka mengatakan perbuatan itu menjurus ke arah ibadah sedangkan apa yang mereka lakukan lansung tidak diterima sebagai ibadah.



Menghampiri Syirik.

Satu perkara yang amat ditakuti adalah apabila perbuatan ini menghampiri syirik. Kerana apa? Sebagai muslim, kita bersujud semata-mata kepada Allah. Tidak ada lain melainkan hanya kepada Allah. Di dalam isu sujud dalam sukan ini, tidak ada mana-mana ilmu yang mengharuskan mereka bersujud, jadi kepada siapakah mereka bersujud? Perkara ini adalah penting dan mustahak buat semua para ahli sukan.

Terdapat juga para ahli sukan yang bukan beragama Islam turut bersujud. Saya masih ingat, seorang pemain badminton negara yang bukan beragama Islam turut bersujud selepas menang mengalahkan lawannya. Riuh para peminat sukan memuji ahli sukan ini yang kononnya seperti sujud syukur. Malah terdapat suara sumbang yang mengatakan, "orang bukan Islam pun sujud syukur, yang Islam berlagak taknak sujud, syukurlah sikit". Kasihan melihat mereka yang bercakap hanya bersandarkan agak-agak, mengikut-ikut dan atas logik akalnya sahaja.



Sujud Kepada Padang?

Merujuk kepada tabiat sujud yang dilakukan oleh ahli sukan yang bukan beragama Islam, pada pendapat peribadi saya, mereka bersujud sambil mencium padang/gelanggang sebagai tanda terima kasih kepada padang/gelanggang yang memberi tuah kepadanya. Mereka menganggap padang/gelanggang itu telah 'membantunya' untuk menang dan seterusnya berjaya.

Untuk pemain bola sepak pula, adakah mereka ini bersujud sebagai rasa terima kasih kepada padang. Tunduk kepada padang, sebagai tanda padang itu bertuah membantunya menjaringkan gol. Jika ada sekelumit cetusan ini kepada para pemain, sudah tentu ianya syirik. Saya yakin para pemain tidak berniat begitu. Tetapi perilaku bersujud itu sememangnya mengundang kepada persepsi ini.

Para pemain bola sepak yang beragama Islam, tolong jangan bersujud lagi apabila menjaringkan gol!



Sujud Syukur

Sujud syukur sememangnya disunatkan di dalam Islam. Sujud syukur merupakan satu ibadah yang mempunyai kaifiat dan kaedahnya. Untuk sujud syukur, seseorang itu wajib menutup aurat, suci daripada najis, suci daripada hadas dan mengadap kiblat. Manakala cara perlaksanaannya dengan niat, takbiratulihram, sujud sekali, dan memberi salam. Saya melihat kaedah ini tidak dibuat oleh pemain terbabit.

Manakala ketika bila kita disunatkan untuk sujud syukur. Sujud syukur disunatkan kepada muslim apabila sesuatu nikmat yang besar dan jarang-jarang diperolehi. Contohnya sujud syukur kerana mendapat anak, perkahwinan, membeli kereta baru, memperolehi rezeki yang tidak disangka-sangka, mendapat tempat di Universiti dan yang seumpamanya. Menang perlawanan sukan atau menjaringkan gol tidak termasuk dalam perkara ini.



Kesimpulan

Saya mengharapkan agar para ahli sukan yang beragama Islam tidak lagi bersujud dalam mana-mana permainan sukan atas kapasiti apa sekalipun. Kepada para pemain bola sepak, pemain badminton, pelumba motorsikal, pelumba basikal, taekwando, angkat berat dan sebagainya, tolonglah jangan bersujud lagi.

Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah kepada pemain bola sepak yang kini semakin ramai menutup aurat. Pesan kepada rakan-rakan yang lain agar turut sama menutup aurat agar satu pasukan lebih terbaik dan dalam masa yang sama dapat patuh kepada syariat yang Allah tetapkan. Jika ada mana-mana pasukan yang para pemainnya menutup aurat kesemuanya, saya yakin pasukan itu lebih diminati dan akan ramai penyokongnya.




Post a Comment

Mardona said... April 9, 2014 at 1:24 PM

bersangka baik encik along.

Random Posts

3/random/post-list
 
Top