Sudah lama mahu menulis perihal tajuk ini. Tetapi seperti banyak kekangan yang muncul. Namun, dikuatkan juga semangat untuk menulis sedikit rentetan perjalanan sebagai kenangan buat diri sendiri dan juga kami sekeluarga.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt, kami sekeluarga telah dimudahkan urusan untuk menjejakkan kaki di bumi haram iaitu Madinah Al-Munawwarah dan Makkah Al-Mukarramah. Jika sebelum ini, ianya hanya sekadar angan-angan dan impian, namun semuanya telah menjadi kenyataan.

Saya pernah menulis impian menunaikan umrah  ini di dalam blog sekitar tahun 2009 yang lalu. SILA KLIK DI SINI untuk melihat post tersebut. Alhamdulillah pada hujung tahun 2013, impian ini telah dimakbulkan.

Perjalanan ini melibatkan kami sekeluarga bersama ahli keluarga mentua bersama seorang makcik. Kesemuanya berjumlah 14 orang.

Sebelum berangkat, pastinya segala dokumen perlu disiapkan. Bermula dengan membuat passport. Kami menerima ujian pertama ketika membuat passport. Kami buat passport di UTC Melaka. Dan di sinilah beg duit isteri saya telah hilang di UTC Melaka tersebut. Cerita perihal membuat passport ini ada saya tuliskan di blog ini. SILA KLIK DI SINI.

Selesai urusan membuat passport, kami perlu membuat suntikan untuk mendapatkan VISA. Kami lakukan di Klinik Amal di Bukit Katil.

Segala urusan perihal pendaftaran, permohonan visa diuruskan oleh abang ipar saya husnaa.

Segala persiapan terus dilakukan. Tarikh kami berangkat adalah pada 21hb Disember 2013. Manakala tarikh pulang adalah pada 31hb Disember 2013. Lebih kurang 10 hari berada di sana.

Kami mengambil pakej Omega Travel Sdn. Bhd.

Hari untuk berangkat pun tiba.

Saya dan keluarga bertolak daripada Merlimau, Melaka menaiki kereta sendiri. Kemudian singgah di Senawang, letak kereta di tempat sepupu saya Huzaimi. Kemudian sepupu saya itu hantar kami ke KLIA. Keluarga yang dari kampung Batu Pahat bertolak dari kampung dengan menaiki sebuah van yang disewa. Manakala abang ipar saya bertolak dari Kuala Lumpur.



Kami berkumpul di KLIA pada pagi 21hb Disember 2013. Menguruskan urusan-urusan di lapangan terbang. Kami akan menaiki pesawat MAS dan bertolak jam 3 petang. Kami bersolat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim.Setelah itu, kami semua pun berangkat dan mula memasuki pesawat.

Ini adalah kali pertama kali menaiki kapal terbang. Pastinya satu perasaan yang berdebar-debar bercampur dengan teruja. Sudahlah pertama kali naik kapal terbang, lokasi yang dituju pula jauh yang memakan masa perjalanan lebih kurang 8 jam.



Saya juga turut berdebar dengan isteri saya yang sedang mengandung. Usia kandungan ketika itu adalah 7 bulan nak masuk ke 8 bulan. Memang tawakal yang tinggi ketika itu. Kerana pelbagai risiko yang bakal berlaku. Kemungkinan isteri saya tidak dibenarkan menaiki pesawat juga ada apabila meneliti rekod kandungan yang sudah menjejak hampir ke 8 bulan. Kami membuat semakan khabarnya kandungan usia 7 bulan boleh dibenarkan menaiki pesawat dengan syarat ada jaminan doktor. Kami sudahpun bersedia dengan surat doktor itu.  Alhamdulillah ketika urusan check in semuanya berjalan lancar sehinggalah dapat masuk pesawat tanpa sebarang halangan.

Anak-anak kami Muadz dan Iman antara yang paling teruja menaiki kapal terbang. Sebelum ini hanya cakap-cakap sahaja dengan mereka, tetapi kini mereka sedang berada di dalam kapal terbang. Seronoknya budak-budak ini kecil lagi dah dapat naik kapal terbang. Pergi pula ke tanah haram. Beruntungnya. Berbanding abinya ini yang umur 30 tahun baru nak merasa naik kapal terbang.

Berada di dalam pesawat dalam tempoh 8 jam. Satu tempoh yang agak lama. Ibarat menaiki bas dari Ipoh ke Batu Pahat. Iman masuk-masuk kapal terbang je belum sempat berlepas dia dah tidur. Muadz lah yang dok teruja pusing sana pusing sini dalam kapal terbang. Pening juga melayan budak. Dalam 4 jam setelah berlepas Iman pula bangun dari tidur. Bila dah ada kawan, lagilah rancak budak-budak ini main sana sini. TV di tempat duduk pula ada yang tak berfungsi. Satu saja yang boleh berfungsi dari kalangan kami berempat. Kongsilah mereka ni menonton cerita kartun yang ada.

Saya tak boleh tidur sewaktu perjalanan pergi ini. Entah kenapa.



Kami kemudian mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Waktu Jeddah ketika itu sekitar jam 7.30 malam. Tiba di Jeddah, uruskan segala urusan yang berkaitan. Kami bersolat Maghrib dan Isyak jamak di sini. Kemudian kami diarah menaiki bas dibimbing oleh mutawif.  Bas ini akan membawa kami ke Madinah Al-Munawwarah. Sepanjang perjalanan di dalam bas ini saya tidur.

Saya terjaga ketika bas sudah hampir memasuki Kota Madinah Al-Munawwarah. Perasaan teruja bercampur baur dengan perasaan terharu apabila dapat juga sampai ke Kota Madinah ini. Mata saya mula meninjau-ninjau mahu melihat Masjid Nabawi.

Jauh dari pandangan, Masjid Nabawi sudah dapat di lihat. Pastinya perasaan teruja itu amat dirasakan. Bagi orang yang pertama kali sampai ke sini, perasaan ini adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. Mutawif kami pun membuat sedikit taklimat perihal kota Madinah. Masjid Nabawi semakin jelas kelihatan.

Kami sampai di Madinah sekitar jam 2 atau pun 3 pagi. Kami akan check in di hotel terlebih dahulu. Keluar sahaja dari bas menuju ke hotel, Ya Allah, terasa amat sejuk sekali. Sejuknya seperti terasa hingga ke tulang. Sejuk yang mengalahkan Cameron Highland.



Kami mengemaskan diri dan meninjau-ninjau hotel. Baring-baring sebentar merehatkan badan yang keletihan sepanjang perjalanan. Lebih kurang jam 4 pagi, saya dan beberapa ahli keluarga yang lelaki pergi ke masjid Nabawi. Meredah suhu sejuk. Lebih kurang jam 4.30 pagi azan pertama dilaungkan. Saya masuk ke masjid Nabawi buat pertama kali pada Subuh 22hb Disember 2013. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Bersyukur ke hadrat Allah dapat juga menjejakkan kaki di Masjid Nabawi ini.

Usai solat subuh, kami menziarahi Makam Rasulullah. Pertama kali menziarahi Makam Rasulullah, subhanallah rasa sungguh syahdu dan berasa dekatnya diri ini bersama Rasulullah. Dan dalam masa yang sama, melihat begitu ramai manusia yang turut sama merindukan kekasih Allah ini. Saya melihat ada yang sampai menangis-nangis, tentu rasa rindunya sangat mendalam pada Rasulullah.



Setelah itu kami pulang ke hotel. Berehat. Kemudian kami sekeluarga berjalan-jalan sekitar masjid Nabawi.

Kami berada di Madinah lebih kurang selama 4 hari. Selebihnya adalah berada di Mekah. Semasa di Madinah, kesempatan yang dapat saya perolehi pastinya untuk beribadah, bermunajat dan beriktikaf di Raudhah. Perasaan semasa berada di Raudhah adalah satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 3 kali saya dapat masuk ke Raudhah. Sekali itu pada waktu tengah malam sekitar jam 1 pagi. Bersama abang ipar saya Husnaa. Kemudian pada waktu selepas asar dan pada waktu dhuha. Semuanya diperoleh dengan tanpa berasak-asak dan penuh ketenangan.

Sepanjang berada di Madinah, terdapat juga sesi ziarah yang disediakan oleh pihak travel. Antara tempat yang kami ziarahi adalah Masjid Quba, Masjid Qiblatain (tak dapat masuk, lalu sehaja), Kilang Al-Quran, Pasar Kurma. Memborong kurma dan kacang-kacang serta ole-ole lain dibuat ketika ini.

Suhu sejuk yang memang sangat dirasakan sememangnya akan diingati. Anak-anak saya gatal-gatal dan timbul ruam pada kulit kerana suhu yang sangat sejuk. Saya yang dewasa ini juga terkena sama. Dengan bibir kering. Pengalaman ini pastinya sangat berharga. Pengalaman musim sejuk di bumi Madinah.


Mutawif kami Ustaz Fadzli yang juga turut membuat kerjaya bersama MAA Takaful. Berada di Madinah dan Mekah turut membincangkan perihal MAA Takaful dan pelbagai kisah yang dikongsi bersama.

Tiba masa untuk bertolak ke Mekah. Saya membuat ziarah wida' di masjid Nabawi. Juga ziarah terakhir kepada Rasulullah yang pastinya akan menggamit rasa terharu mahu meninggalkan bumi Madinah ketika itu.

Kami bersiap-siap memakai pakaian ihram.





 Cerita di Mekah pula di episod seterusnya.

Post a Comment

Random Posts

3/random/post-list
 
Top