utc3

Pada hari Rabu minggu lalu (30hb 10 2013), saya dan keluarga meluangkan masa pergi ke UTC Melaka pada sebelah malam. Lokasi UTC Melaka adalah berhadapan dengan Stadium Hang Tuah. Kami bertolak selepas maghrib dan tiba di UTC Melaka kira-kira jam 9 malam. Perkhidmatan yang disediakan sehingga jam 10 malam sememangnya memudahkan rakyat untuk berurusan khususnya bagi yang sibuk pada waktu siang hari.

Tujuan kami adalah untuk membuat passport. Segala kelengkapan sudahpun kami sediakan. Ianya adalah gambar sebanyak dua keping dan IC sahaja. Bagi kanak-kanak, yang diperlukan adalah gambar 2 keping, salinan IC ibu atau bapa, salinan surat beranak dan surat beranak itu sekali.

Agak ramai orang yang berurusan di Pejabat Imegresin pada malam itu. Giliran kami hanya tiba kira-kira jam 9.30 malam. Setelah selesai, kami dimaklumkan bahawa passport tak boleh siap pada malam itu juga kerana hari telah lewat. Pejabat akan tutup jam 10 malam.

utc1

Kami pun pulang. Dalam perjalanan pulang, hajat untuk singgah di Restoran Rahmat yang khabarkan mempunyai menu yang sedap terutama chicken chop. Ketika mahu turun dari kereta, isteri saya mengatakan yang dompetnya tertinggal di Pejabat Imegresin UTC. Agak bercampur baur perasaan ketika itu.

Kami berpatah balik ke UTC Melaka daripada Restoran Rahmat yang terletak di Semabok itu. Tiba di sana, pejabat semuanya sudah tutup. Jam sudah menunjukkan 10.20 malam. Kami pulang hampa.

Kami pun kembali semula ke Restoran Rahmat di Semabok. Menikmati Chicken Chop dengan harga RM10 sehidang.

 

utc4

Esok paginya kami ke UTC Melaka semula dengan harapan dompet masih ada lagi di kerusi tempat duduk pejabat Imigresen. Kami tiba jam 8 pagi. Masuk ke pejabat Imigresen, dan terus mencari di kerusi tempat duduk.

Hasilnya hampa. Dompet telah hilang.

Memberitahu isteri akan situasi tersebut, isteri terus bercuti dan mahu uruskan akan kehilangan dompetnya itu.

Segalanya dibuat di UTC Melaka

Selepas mengambil passport yang telah siap, tempat pertama dituju adalah Pejabat Pendaftaran di Aras 2. Satu aras dengan pejabat Imigresen. Dikenakan bayaran denda RM110 kerana cuai atas kehilangan IC. Kad pengenalan pun dibuat dan akan siap satu jam kemudian.

Sementara menunggu kad pengenalan siap, kami turun ke aras bawah untuk bersarapan. Kami bersarapan di Kafeteria UTC Melaka. Di sini, mulanya sedikit masalah. Dengan prasarana yang lengkap di UTC Melaka, tetapi bila ke Kafeterianya, ada merencatkan keadaan.

Kedai yang beroperasi masih ada yang belum bersedia untuk menerima pelanggan. Walaupun ketika itu sudah jam 9 pagi. Kebetulan ketika kami datang itu, terdapat gangguan elektrik yang menyebabkan urusan menjadi semakin kelam kabut.

Urusan pembayaran di kaunter agak terganggu disebabkan gangguan elektrik itu. Tetapi bagi saya itu tidak menjadi masalah. Tetapi cara interaksi di kaunter pembayaran juga agak merumitkan apabila pekerja yang bertugas kurang pasti akan harga makanan tertentu. Mungkin pekerja tersebut masih baru.

Selesai bersarapan, kami menuju ke Kiosk Polis ataupun Balai Polis di UTC. Terletak di aras bawah. Report polis pun dibuat akan kehilangan dompet.

 

utc5

Setelah selesai urusan di Balai Polis,saya menyuruh isteri ambil gambar di Kiosk Ambil Gambar yang terletak di luar sebelah hadapan UTC Melaka. Tujuannya untuk mendapatkan lesen memandu yang baru. Kami pun pergi ke Kiosk Ambil Gambar dan ambil gambar untuk lesen.

Setelah selesai, kami menuju ke Pejabat Pendaftaran dan mengambil Kad Pengenalan. Kad Pengenalan telahpun siap.

Kami terus menuju ke Pejabat JPJ yang berada satu aras dengan Pejabat Pendaftaran. Agak ramai pelanggan ketika itu. Tiba giliran kami. Menyatakan Lesen Memandu hilang atas kecuaian sendiri. RM20 denda dikenakan.

Rupa-rupanya pembikinan Lesen Memandu sekarang sudah tidak perlu membawa gambar. Dan lesen memandu kini juga sudah berwajah baru. Gambar boleh di ambil di situ juga. Seperti membuat kad pengenalan. Tak tahu pula sudah berubah. Tetapi boleh juga guna gambar yang dibawa dan JPJ boleh scan dan guna gambar itu untuk kegunaan Lesen Memandu.

Selesai urusan Lesen Memandu, kami menuju ke aras satu untuk ke Bank Rakyat. Tujuannya untuk ganti kad ATM yang baru. Hampa. Bank Rakyat tutup. Saya dimaklumkan oleh petugas berhampiran disitu, bank Rakyat memang sentiasa tutup.

Ini satu lagi perkara yang merencatkan kemudahan di UTC Melaka. Benda sudah ada, tetapi tidak dibuka. Ianya telah merosakkan kemudahan yang boleh dikatakan serba lengkap di UTC Melaka. Jika begitu, sepatutnya buang sahaja senarai Bank Rakyat di dalam kemudahan UTC Melaka kerana ianya telah memberi harapan palsu kepada pengguna di situ.

Selesai urusan kami di UTC Melaka. Kami pun pulang dan saya kembali ke pejabat. Sementara isteri saya meneruskan urusan ke bank-bank untuk ganti kad ATM yang baru.

Bagi saya, UTC Melaka memang terbaik! Dengan kemudahan yang serba lengkap di dalam sebuah bangunan, ianya memang memberi banyak manfaat kepada pengguna. Cuma seharusnya pihak yang berkaitan memikirkan dengan segera beberapa perkara yang agak merencatkan kemudahan sedia ada bagi memastikan kemudahan yang disediakan sangat bermanfaat buat semua.

Satu lagi permasalahan yang ada adalah tentang lif. Lif yang ada sebanyak 4 unit. Yang boleh beroperasi 2 unit sahaja. Lagi 2 unit tidak pasti sama ada memang tak mahu digunakan atau sedang dalam penyelenggaraan. 2 lif yang ada itu sangat lambat operasinya dan tempoh menunggu yang sangat lama untuk tiba giliran. ianya juga boleh mengundang rungutan pengguna yang semestinya mahu cepat dan pantas ketika mahu berurusan.

Kesimpulannya, bagi kami yang kehilangan dompet, berurusan di UTC Melaka memang sangat memudahkan! Terima kasih kerajaan Negeri Melaka atas idea yang terbaik ini. Baiki kelemahan yang ada dan tingkatkan prestasi dengan lebih unggul lagi.

Post a Comment

Random Posts

3/random/post-list
 
Top