Saya adalah seorang manusia yang dilahirkan automatik sebagai penganut agama Islam. Ada orang mengatakan, ia dinamakan Islam baka. Iaitu menganut Islam dengan mewarisi keturunan terdahulu. Amat beruntung sesiapa yang dilahirkan automatik sebagai seorang Islam. Kerana apa? Kerana Islam satu-satunya agama yang Allah janjikan kesudahan yang sempurna dalam kehidupan makhluk ciptaanNya.

Berbanggalah kita kerana Islam berjaya kita anuti sejak di dalam perut ibu lagi. Kita tidak pernah tahu yang ibu bapa kita sibuk berdoa agar kita dilahirkan dengan selamat. Dan saya yakin dan percaya, ibu bapa Islam pasti mengharapkan agar anaknya itu kelak menjadi anak yang soleh dan solehah. Kerana mereka tahu, anak yang soleh itulah bakal menjadi bekalan yang akan di bawa masuk ke alam Barzakh, alam yang penuh kegelapan.

Pernah juga saya mendengar orang berbicara tentang Islam mereka. Hakikat yang terjadi, Islam yang membaluti tubuh mereka itu tidak dibanggakan dan tidak benar-benar dihargai. Adakalanya, mereka tak mahu Islam ini menjadi peneman mereka. Manakan tidak, jika mereka di seru untuk merisaukan akan iman dan ibadah, mereka akan mencebik. Jika tidak mencebik pun, akan terlintas di hatinya: 'amal ibadah aku, tu antara aku dengan Tuhan, apasal nak tanya-tanya pulak!'.

'Alahhh, Islam biasa-biasa aje dah lah! Tak payah nak fanatik sangat!'.

Ayat ini agak sinonim di dalam masyarakat melayu Islam. Saya sendiri pun tidak begitu faham akan bagaimana maksud 'Islam biasa-biasa' itu. Mungkin Islam biasa-biasa itu sekadar solat sahaja. Atau adakah mungkin Islam biasa-biasa itu hanya pada Solat Jumaat saja? Bagaimana pula pada faktor berpakaian? Belum lagi sempat kita mahu menerangkan akan aurat seorang wanita, sudah ramai wanita yang berkata: 'asal aku pakai tudung dan solat lima waktu dah lah!! Panas lah berkelubung macam hantu bungkus!!'.

Cuba kita bertanya pada mana-mana wanita di Malaysia ini, apakah dia aurat wanita?. Keyakinan saya 100% akan mengatakan bahawa aurat wanita adalah kesluruhan anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Nah, jawapan sudah ada. Cuba tanya semula, 'agak-agak, sekarang awak ni menutup aurat tak?'. Yang peliknya, mereka dengan bangga mengatakan mereka menutup aurat sedangkan kaki mereka tidakpun ditutup dengan apa-apa jua benda. Jika begitu, hampir 90% wanita tidak menutup aurat lah yee?? Yaa!! Memang ya!! Bolehkah menutup aurat biasa-biasa?? Ada ke menutup aurat biasa-biasa? Tidak ada kelonggaran berkaitan perkara ini dan ia adalah satu ketetapan!

Gejala 'Saya Mahu Islam BIASA-BIASA Saja' sebenarnya sudah menular di segenap pelusuk dunia. Itu sebab dalam sabda Nabi, baginda mengatakan

'akan tiba satu zaman, orang yang mengamalkan sunnahku dianggap ganjil, beruntunglah orang itu', selain itu ada juga dalam ayat yang lain 'Islam ini bermula dagang (asing) dan ia akan kembali dagang (asing) sepertimana asal kedatangannya.

Maka, apa yang nabi perkatakan selepas baginda di Mikrajkan ke langit perihal gambaran akhir zaman adalah benar belaka. Nabi memberitahu bahawa neraka itu panas membahang, dan kayu api dan kepanasan itu adalah dipenuhi oleh wanita-wanita. Nabi melihat, ada wanita yang terseksa dengan pelbagai seksaan. Mengapa wanita Allah janjikan sebagai yang PALING RAMAI yang berada di dalam neraka? Mengapa tidak Iblis dan Syaitan yang sudah terkenal dengan kejahatannya?

Jika dikhabarkan perkara ini kepada wanita, sudah tentu ia akan menyebabkan satu ketakutan yang amat sangat. (yang peliknya, terlalu ramai wanita yang tidak takut pun dengan api neraka ini). Mereka dengan bangga berjalan di tengah orang ramai. Dengan tanpa menutup aurat yang sempurna. Dengan mengenakan solekan yang berlebih-lebihan. Dengan bau-bauan yang menarik perhatian lelaki. Perempuan yang begini mempunyai potensi besar untuk berbaris menuju ke neraka Allah.

Apa penyelesainnya. Saya mengatakan, wanita ini mudah masuk neraka, dan terlalu mudah masuk syurga! Bagaimana? Hanya TAAT pada suami, ibu bapa dan agama. Itu sahaja. Mudah bukan?

Kembali semula bagi membicarakan persoalan Islam biasa-biasa, entah mengapa dari sudut beragama, mereka tidak mahu mengejar kesempurnaan. Mereka tidak mahu yang terbaik dalam hal agama. Jika ada orang yang mahu berlebihan dalam hal agama, mereka akan berkata: fanatik!. Cuba fikir sejenak, mengapa di dalam peperiksaan semasa kita di sekolah dahulu kita mengejar A? SPM sebagai contoh. Kita mahu mengejar A sebanyak boleh. 17A. 18A. Mengapa mahu target A?? Sedangkan B juga lulus? C juga lulus? Mengapa mesti mahu target A jua? Sudah tentu, seboleh-bolehnya kita mahu mendapat yang terbaik!! Yang paling tinggi. Mengapa dalam hal agama tidak begitu?

Orang yang berkata Aku Mahu Islam BIASA BIASA Saja adalah orang yang tidak ada matlamat dalam kehidupannya. Orang ini mungkin berjaya dalam sudut hal keduniaan, namun belum tentu soal akhirat dia juga beroleh kejayaan. Oleh itu, marilah kita insafi diri kita sendiri, dan sedaya mungkin, jadilah kita sebagai umat Islam yang TERBAIK! Bukan umat Islam biasa-biasa...

Post a Comment

Random Posts

3/random/post-list
 
Top