KUALA KEDAH: Bekas penyanyi kumpulan A to Z, Affendey Zainon, 39, atau lebih dikenali sebagai Fendi meninggal dunia akibat diserang angin ahmar selepas tiga hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Norma Md Akhir, 58, dan bapanya, Zainon Cha, 58, di HSB, kira-kira jam 9.30 pagi. Kumpulan A to Z popular dengan lagunya Itik Gembo-Gembo dan Berdendang pada 1990-an.

Lebih 200 orang, termasuk sanak saudara dan peminat menziarahi Allahyarham di rumah keluarganya di Taman Harapan di sini, untuk memberi penghormatan terakhir.

Adik perempuannya, Zailiawati Zainon, 32, berkata abang sulungnya itu diserang angin ahmar sejak Disember tahun lalu dan sejak itu arwah tidak berselera makan sehingga menyebabkan badannya semakin susut.

Katanya, Ahad lalu, abangnya mengadu sesak nafas dan beliau kemudian membawa Fendi ke HSB untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang dengan keadaannya yang tidak bermaya.

"Saya memujuknya supaya pergi ke hospital tetapi dia hanya mendiamkan diri. Tak sangka pula dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Harapan di sini, hari ini.

Beliau berkata, abangnya hanya sempat menyertai kumpulan A to Z selama dua tahun dan berhenti dari dunia hiburan untuk menyertai kumpulan tabligh.

Sumber: Berita Harian Online

-------
Innalillahiwainnalillahi rajiuun. Semoga famili nya bersabar. Semoga Allahyarham Fendi tenteram di alam barzakh sana dan ditempatkan di dalam kalangan orang yang beriman.

Semoga tindakannya keluar dari A to Z dan menyertai jemaah Tabligh itu menjadi bukti akan iltizam arwah untuk menjadikan Allah dan agama Islam lebih tinggi dari yang lain. al-fatihah

A.Safa

Post a Comment

Random Posts

3/random/post-list
 
Top